KUALA LUMPUR, 12 November– Kerajaan Madani terus dipersoal mengenai keseriusan komitmennya untuk melaksanakan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) apabila masih gagal mengemukakan garis masa pembinaan yang jelas, meskipun mengakui anggaran kos projek bernilai RM9.8 bilion itu dijangka terus meningkat.
Ahli Parlimen Dungun, Dato’ Haji Wan Hassan Mohd Ramli mempersoalkan ketidakupayaan kerajaan dalam menetapkan hala tuju pelaksanaan yang jelas bagi projek strategik berkenaan apabila rakyat Terengganu dan Kelantan terus menunggu tanpa kepastian.
“Sepatutnya mesti ada satu pelan yang sangat konkrit,” katanya ketika mengulas jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, Ahmad Maslan memaklumkan cadangan LPT3 sepanjang 122 kilometer dari Kampung Gemuruh, Terengganu ke Tunjong, Kelantan masih berada di peringkat penyediaan dokumen request for proposal (RFP) oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
Perkembangan itu menimbulkan persoalan memandangkan kerajaan sebelum ini menyasarkan pemuktamadan dokumen RFP pada tahun 2026, namun sehingga November tahun yang sama, proses berkenaan masih belum diselesaikan tanpa sebarang garis masa baharu yang dinyatakan.
Wan Hassan turut mempertikaikan kewajaran bagi rakyat Pantai Timur untuk terus menanggung kesan penangguhan pembangunan, sedangkan risiko peningkatan kos telah pun diakui kerajaan sendiri.
Beliau berkata, jawapan kerajaan yang berulang kali merujuk pembangunan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak menjawab persoalan sebenar mengenai pelaksanaan LPT3.
Ini kerana projek-projek berkenaan mempunyai fungsi pembangunan yang berbeza, sedangkan LPT3 berpotensi melengkapkan jaringan lebuh raya Pantai Timur sebagai koridor strategik bagi sektor logistik, perdagangan, perindustrian dan pelancongan.
Dalam soalan tambahan, Wan Hassan turut mempersoalkan mengapa pendekatan pembiayaan hibrid seperti Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) bernilai RM3 bilion di Pulau Pinang tidak dipertimbangkan bagi LPT3.
Projek di Pulau Pinang tersebut menggunakan pendekatan pembiayaan hibrid dengan 60 peratus kos ditanggung Kerajaan Persekutuan dan 40 peratus oleh PLUS Berhad. Sebaliknya, keseluruhan kos pembangunan LPT3 dicadangkan ditanggung oleh pihak swasta tanpa perancangan menggunakan pendekatan pembiayaan hibrid yang berpotensi mengurangkan beban kadar tol kepada rakyat.
Perbezaan pendekatan tersebut membangkitkan persoalan mengenai keutamaan dan kesaksamaan pembiayaan pembangunan infrastruktur antara Pantai Barat dengan Pantai Timur, khususnya dari sudut kesaksamaan agihan pembangunan wilayah.
Sehubungan itu, Wan Hassan menegaskan bahawa Kerajaan perlu menetapkan garis masa yang jelas bagi pemuktamadan RFP, kelulusan projek serta jangkaan permulaan dan penyiapan pembinaan LPT3.
“Jadi, sepatutnya jawapan bukan berpusing pada isu yang sama tetapi sepatutnya mesti ada ‘concrete plan’,” tegas beliau.