KUALA TERENGGANU, 12 November – Kumpulan Nakhoda daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Khidmat Pengurusan) muncul penerima Anugerah Persada Inovasi Emas menerusi pengiktirafan lima bintang, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Anugerah Persada Inovasi Perak diraih Kumpulan Terra Nova yang menggabungkan Pejabat Tanah Kuala Terengganu dan Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat dengan hadiah wang tunai RM7,000.
Sementara itu, Kumpulan Nexus Innovators daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menerima Anugerah Persada Inovasi Gangsa dengan membawa pulang RM5,000.
Ketiga-tiga kumpulan berkenaan turut memperoleh pengiktirafan lima bintang berserta sijil bintang bernilai RM1,000 setiap satu sebagai penghargaan terhadap usaha menghasilkan inovasi dalam perkhidmatan awam di Majlis Anugerah Persada Inovasi Negeri Terengganu 2026 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Katanya, pengiktirafan itu bertujuan menghargai usaha yang menyokong gagasan PDPC, khususnya dalam meningkatkan keberkesanan pentadbiran serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 50 pasukan menyertai pertandingan inovasi peringkat negeri pada 2027 berbanding 36 pasukan yang mengambil bahagian tahun ini.

"Setiap jabatan dan agensi juga disaran menghasilkan sekurang-kurangnya satu projek inovasi setiap tahun bagi menggalakkan lebih banyak idea kreatif serta penyelesaian baharu diketengahkan.
"Yang penting bukan sekadar memenuhi bilangan, tetapi memastikan projek dilaksanakan dan membawa keberhasilan yang boleh dirasai," katanya.
Beliau juga berkata, Ketua Jabatan perlu memainkan peranan menggalakkan kerjasama merentas unit serta memberikan sokongan kepada idea yang berupaya menyelesaikan masalah sebenar dalam organisasi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Terengganu turut membuktikan keupayaan menghasilkan inovasi berkualiti apabila beberapa agensi negeri mencatat kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Antaranya, Kumpulan D Gate Fighter daripada Majlis Perbandaran Dungun berjaya meraih Anugerah Emas menerusi projek Water Splash pada International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) 2025 di Taipei, Taiwan.
Terbaharu, kerjasama Invest Terengganu (UPEN), Terengganu Inc., EPIC Berhad, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjaya meraih Naib Johan bagi kategori State Innovation Award sempena International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre pada 7 hingga 9 Oktober lalu.
Mohd Azmi berkata, pencapaian itu membuktikan budaya inovasi dalam sektor awam bukan sekadar menghasilkan idea baharu, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang mampu meningkatkan mutu perkhidmatan serta memberi manfaat kepada rakyat.