Berita :
Malaysia Berdepan Risiko
Malaysia Berdepan Risiko
Adli Mohamad
4 jam yang lepas
83

KUALA TERENGGANU, 14 April – Malaysia berdepan risiko menjadi medan perebutan kuasa besar dunia sekiranya konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan China memuncak di rantau Asia Timur.

Pengerusi Jawatakuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kedudukan strategik negara khususnya di Selat Melaka menjadikan Malaysia antara lokasi penting dalam percaturan geopolitik global.

“Jika berlaku pertembungan besar melibatkan AS dan China, tidak mustahil Malaysia akan terheret sama ada secara langsung atau tidak, kerana kepentingan strategiknya.

“Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia menghadapi situasi ini?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, situasi semasa mempunyai persamaan dengan Perang Dunia Kedua apabila Tanah Melayu menjadi sasaran kuasa besar untuk menguasai laluan perdagangan utama dunia.

Menurutnya, konflik Rusia-Ukraine dilihat sebagai perang proksi yang memperlihatkan pengaruh China dalam menyokong ekonomi Rusia, sekali gus mengimbangi tekanan sekatan Barat.

Dalam masa sama, katanya, ketegangan di Timur Tengah khususnya melibatkan Iran turut menunjukkan percaturan kuasa besar yang semakin kompleks.

“AS dilihat sedang mencari jalan keluar yang tidak menjejaskan imejnya, manakala China pula terus mengukuhkan pengaruh ekonomi dan ketenteraannya di rantau tersebut,” jelasnya.

Mengulas perkembangan serantau, beliau menyifatkan kerjasama pertahanan antara AS dan Indonesia sebagai isyarat bahawa fokus ketenteraan dunia kini beralih ke Asia Timur.

Katanya, sebarang konflik di Laut China Selatan berpotensi menjadi pencetus kepada perang lebih besar yang akan memberi kesan langsung kepada negara ASEAN termasuk Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar negara sentiasa bersiap siaga dan tidak alpa dengan perkembangan geopolitik semasa.

“Umat Islam perlu mengambil pengajaran daripada peristiwa Hijrah dengan memperkukuh perpaduan dan mempertahankan kedaulatan negara daripada dipengaruhi agenda kuasa luar,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan