Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu-Johor Perkukuh Kerjasama Strategik Sektor Pelancongan
Terengganu-Johor Perkukuh Kerjasama Strategik Sektor Pelancongan
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
1 jam yang lepas
55

JOHOR BAHRU, 3 November 2026 – Kerajaan Negeri Terengganu dan Johor berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pelancongan menerusi promosi silang destinasi, pertukaran budaya dan jaringan pemain industri bagi merancakkan ekonomi kedua-dua negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, hubungan baik antara kedua-dua negeri perlu dimanfaatkan bagi saling melengkapi kekuatan produk pelancongan masing-masing, khususnya menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.

Menurutnya, Terengganu mempunyai keunikan tersendiri melalui keindahan pulau dan pantai, warisan budaya serta seni tradisional yang berpotensi menarik lebih ramai pelancong.

“Terengganu mempunyai keistimewaan melalui keindahan pulau-pulau peranginan, pantai yang mempesona, warisan budaya, seni tradisional serta kehidupan komuniti yang kaya dengan identiti tempatan”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Silang Budaya Terengganu-Johor sempena Program Truly Terengganu Tour di Kingston Hotel, Johor Bahru, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, P. Pannir Selvam a/l Paliksina berkata, kesinambungan kempen promosi dan pemasaran pelancongan penting bagi memastikan pembangunan sektor berkenaan terus berkembang.

“Industri pelancongan bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, malah membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan usahawan tempatan serta merancakkan ekonomi komuniti,” katanya.

Beliau turut berharap kunjungan berkenaan menjadi permulaan kepada lebih banyak kerjasama strategik antara kedua-dua negeri, termasuk penganjuran program secara timbal balik pada masa hadapan.

Untuk rekod, delegasi Terengganu melibatkan 55 peserta terdiri daripada 24 penunggang motosikal berkuasa tinggi, pemain industri pelancongan serta pegawai dan kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan