Jalur Gemilang
Berita :
Persamaan Terengganu Dan Indonesia, Buka Ruang Kerjasama Lebih Luas – Razali
Persamaan Terengganu Dan Indonesia, Buka Ruang Kerjasama Lebih Luas – Razali
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
17 jam yang lepas
203

KUALA TERENGGANU, 2 November – Persamaan warisan dan budaya antara masyarakat Terengganu dengan Indonesia berpotensi menjadi asas penting dalam memperluas kerjasama pelancongan serta pertukaran kebudayaan antara kedua-dua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Dato’ Razali Idris berkata, hubungan sedia ada dengan beberapa wilayah di Indonesia seperti Aceh, Medan dan Padang perlu dimanfaatkan bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam sektor berkenaan.

Menurutnya, persamaan budaya khususnya dengan masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat turut memberikan kelebihan untuk membina hubungan yang lebih erat.

“Terengganu sebenarnya tidak asing dengan Indonesia. Destinasi popular rakyat Terengganu termasuk Aceh, Medan dan Padang. Kita juga mempunyai persamaan budaya dengan masyarakat di Sumatera Barat.

“Justeru, saya amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama, termasuk menghubungkan jaringan dengan kepimpinan di sana bagi memperkukuh hubungan pelancongan dan kebudayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Terengganu Cultural Discovery: Fam Trip 2026 yang berlangsung di Crystal Cruise Taman Tamadun Islam, baru-baru ini.

Razali berkata, Terengganu turut mempunyai keunikan seni warisan seperti Ulik Mayang dan Rodat yang berpotensi diperkenalkan ke peringkat antarabangsa menerusi program pertukaran kebudayaan.

Katanya, pendekatan berkenaan bukan sahaja dapat memperkenalkan identiti seni dan budaya negeri, malah membuka ruang kepada masyarakat luar untuk mengenali keunikan warisan Terengganu.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik cadangan menghubungkan jaringan dengan Gabenor Sumatera Barat bagi meneroka peluang kerjasama yang lebih meluas.

“Kita bukan sahaja mahu menerima kunjungan daripada mereka, tetapi kita juga perlu mengambil inisiatif untuk datang ke tempat mereka. Hubungan seperti ini perlu bergerak dalam kedua-dua arah,” katanya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat menjadi platform memperkukuh hubungan serantau, sekali gus meletakkan warisan dan kebudayaan Terengganu sebagai antara tarikan dalam pasaran pelancongan antarabangsa.




Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan