Jalur Gemilang
Berita :
BCPP FC Kekal Juara Piala YB ADUN Batu Rakit 2026
BCPP FC Kekal Juara Piala YB ADUN Batu Rakit 2026
Izzat Al-qushairi
18 jam yang lepas
193

KUALA NERUS, 2 November – BCPP FC berjaya mengekalkan kejuaraan Piala YB ADUN Batu Rakit 2026 selepas menewaskan Pecah Rotan FC dengan keputusan 1-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Bola Sepak Sintetik (UniSport), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak, baru-baru ini.

Pengurus BCPP FC, Mohd Hasraf Hussein, 33, berkata beliau amat bersyukur apabila pasukannya sekali lagi dikurniakan rezeki untuk muncul juara bagi dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2025 dan 2026.

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur, penaja utama pasukan, Singgang Budu, Reka Grafik, serta para penyokong dan orang kampung yang banyak membantu pasukan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan, Pecah Rotan FC dan BCPP FC, yang mempamerkan aksi permainan berkualiti serta semangat kesukanan sepanjang perlawanan akhir.

Beliau berharap kejohanan berkenaan terus menjadi platform untuk mengeratkan ukhuwah, menyatukan masyarakat setempat dan mencungkil bakat pemain bola sepak tempatan.

Penganjuran kejohanan itu turut membawa mesej bahawa sukan bukan sahaja menjadi medan persaingan, malah berperanan sebagai medium menyatukan masyarakat melalui semangat berpasukan dan persaudaraan.

“Sukan Menyatukan Kita, Ukhuwah Mengeratkan Kita,"ujarnya.



Tag :

Utama
Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan