Jalur Gemilang
Berita :
Dulu Ambil Alih Perniagaan Arwah Ayah, kini ikan bilis Aimi tembus pasaran KL
Dulu Ambil Alih Perniagaan Arwah Ayah, kini ikan bilis Aimi tembus pasaran KL
Adli Mohamad
13 jam yang lepas
266

KUALA NERUS, 1 November – Ketika remaja seusianya masih di bangku sekolah, Mohd Aimi Shahril Mat Ali sudah memikul tanggungjawab besar apabila mengambil alih perusahaan ikan bilis peninggalan arwah bapanya pada usia sekitar 16 tahun.

Kini, selepas hampir sedekad mengusahakan perniagaan berkenaan, anak muda berusia 25 tahun itu berjaya mengembangkan perusahaan keluarganya sehingga mampu menjana pendapatan besar.

Berasal dari Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir, Mohd Aimi berkata, dia mula menguruskan perniagaan tersebut pada 2017 dengan berbekalkan pengalaman dan asas perusahaan yang ditinggalkan arwah bapanya.

Menurutnya, meskipun perniagaan itu sudah mempunyai pelanggan tersendiri, dia tidak mahu sekadar meneruskan usaha bapanya, sebaliknya berusaha memperluaskan pasaran sehingga produk ikan bilis keluarannya kini mendapat tempat di luar Terengganu termasuk Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah, ketika saya ambil alih dahulu, perniagaan arwah ayah memang sudah dikenali. Jadi, saya teruskan apa yang ada dan cuba kembangkan lagi supaya lebih ramai orang mengenali produk kami.

"Syukur, usaha itu membuahkan hasil dan sekarang permintaan bukan sahaja datang dari Terengganu, malah pelanggan dari Kuala Lumpur juga mendapatkan bekalan ikan bilis kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini, baru-baru ini.

Menariknya, Mohd Aimi bukan sekadar menguruskan jualan, malah turut turun sendiri ke laut bagi mendapatkan bekalan ikan bilis untuk perusahaannya.

Menurutnya, dia memiliki bot sendiri dan menjalankan aktiviti sebagai nelayan pantai bagi memastikan bekalan hasil laut yang diperoleh dapat memenuhi keperluan perniagaan.

"Saya memang turun sendiri ke laut untuk mendapatkan ikan bilis. Selepas dibawa pulang, hasil tangkapan akan diproses, dibersihkan dan diasingkan mengikut gred serta kualiti.

"Ada ikan bilis berkualiti tinggi, sederhana dan jenis yang dijual pada harga lebih murah. Semuanya bergantung kepada keperluan pelanggan," jelasnya.

Selain memenuhi permintaan pengguna biasa, Mohd Aimi turut menjadi pembekal ikan bilis kepada pengusaha budu terkenal, antaranya Budu Selera Kampung dan Budu Cap Ketereh.

Katanya, kepercayaan yang diberikan pengusaha makanan tradisional itu menjadi antara pendorong untuk memastikan kualiti bekalan ikan bilis sentiasa berada pada tahap terbaik.

Tidak terhenti dengan perusahaan ikan bilis, Mohd Aimi turut meneruskan satu lagi warisan perniagaan arwah bapanya iaitu penghasilan belacan merah.

Menurutnya, belacan berkenaan mempunyai keunikan tersendiri dari segi warna dan merupakan antara produk tradisional yang cukup sinonim dengan perusahaan keluarganya sejak dahulu.

"Belacan keluarga kami berwarna merah. Boleh dikatakan keluarga kami antara yang terawal mengusahakan belacan merah ini.

"Produk ini memang ada identiti tersendiri dan mempunyai peminat yang sentiasa mencarinya," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Aimi mengakui perniagaan berasaskan hasil laut tidak terlepas daripada cabaran terutama mendapatkan bekalan bahan mentah yang mencukupi.

Katanya, bekalan ikan bilis dan udang geragau yang digunakan untuk menghasilkan belacan bergantung kepada hasil tangkapan laut, sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran apabila sumber berkenaan berkurangan.

"Cabaran utama ialah memastikan bekalan sentiasa ada kerana kita bergantung kepada hasil laut. Kalau bekalan berkurangan, memang sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengeluaran," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Aimi bersyukur kerana diberi peluang meneruskan legasi arwah bapanya, malah berbangga apabila perusahaan yang bermula sebagai perniagaan keluarga kini mampu berkembang ke pasaran lebih luas.

Beliau percaya produk makanan tradisional berasaskan hasil laut dari Terengganu mempunyai potensi besar untuk terus dimajukan, khususnya apabila generasi muda berani mengambil peluang meneruskan perusahaan warisan keluarga.

Baginya, perniagaan yang diwarisi bukan sekadar sumber pendapatan, tetapi juga amanah untuk memastikan usaha yang dibina arwah bapanya terus bertahan dan berkembang.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan