Berita :
MP Besut Mahu Pemandu Mabuk Penyebab Kematian Diklasifikasi Setaraf Pembunuhan
MP Besut Mahu Pemandu Mabuk Penyebab Kematian Diklasifikasi Setaraf Pembunuhan
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
17 jam yang lepas
46

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian wajar diklafikasikan sebagai jenayah berat setaraf pembunuhan bagi memastikan hukuman yang dikenakan lebih setimpal dengan kehilangan nyawa.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, sudah tiba masanya kesalahan berkenaan tidak lagi dianggap sebagai sekadar kesalahan trafik memandangkan insiden pemandu mabuk terus meragut nyawa rakyat dan meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa.

 “Kita tidak boleh berkompromi lagi kerana saban tahun tragedi pemandu mabuk terus meragut nyawa dan masa depan rakyat, malah sering kali mengorbankan pencari nafkah utama sesebuah keluarga,” ujarnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan di Dewan Rakyat, semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan sama ada terdapat perancangan pada masa hadapan untuk mengklasifikasikan kesalahan berkenaan sebagai jenayah berat yang boleh didakwa secara mandatori di bawah Kanun Keseksaan.

Dalam perbahasan sama, beliau turut membangkitkan isu penguatkuasaan terhadap kegiatan lumba haram.

 "Mencadangkan penambahbaikan terhadap peruntukan baharu Seksyen 42A bagi memastikan tiada kelompangan undang-undang yang boleh menyebabkan pesalah terlepas daripada tindakan sewajarnya," jelasnya.

Menurut beliau, Seksyen 42A yang diperkenalkan bagi memperkukuh tindakan terhadap kegiatan rempit wajar dimasukkan sebagai sabitan alternatif di bawah Subseksyen 41(4) bagi mengukuhkan struktur perundangan sedia ada.

"Langkah itu penting bagi memastikan individu yang terlibat dalam perlumbaan haram sehingga mengakibatkan kematian tidak terlepas daripada sabitan akibat kekangan teknikal dalam proses pendakwaan," katanya.

Selain kelompangan undang-undang jalan raya, Ahli Parlimen Besut itu turut membangkitkan isu perluasan inisiatif pendigitalan di bawah Seksyen 118, khususnya membabitkan keselamatan data peribadi pada aplikasi MyJPJ. 

Beliau mendedahkan rungutan pengguna mengenai kehadiran sebuah syarikat swasta yang menawarkan perkhidmatan pembaharuan insurans di dalam aplikasi rasmi kerajaan tersebut.  

Zulkifly mempersoalkan bagaimana syarikat luar yang diragui legitimasinya boleh mendapat keistimewaan pengiklanan sedemikian, manakala pihak JPJ meletakkan penafian (disclaimer) bagi mengelak daripada bertanggungjawab sekiranya timbul masalah.  

"Bagaimanakah JPJ boleh melepaskan tangan sekiranya timbul sebarang isu yang dihadapi pengguna, sedangkan JPJ sendiri yang membenarkan syarikat tersebut berada dalam aplikasi rasmi mereka?" soal beliau dengan tegas.  

Menyentuh mengenai Seksyen 20, beliau meminta Kementerian Pengangkutan menetapkan kriteria khusus bagi frasa "keterangan lain" yang boleh dikemukakan kepada penguat kuasa bagi mengelakkan salah guna kuasa atau ruang rasuah di lapangan. 

Beliau juga mempersoalkan tahap kecekapan peranti penyemakan Smart Management Enforcement Device (SMED) yang sepatutnya memadankan data kenderaan secara automatik tanpa menyusahkan pengguna menunjukkan telefon bimbit.  
Di akhir perbahasan, beliau turut menegur persepsi awam mengenai isu 'double standard' penguatkuasaan.

"Pelaksanaan undang-undang mestilah konsisten tanpa mengira sama ada individu yang berlumba itu menunggang motosikal kapcai ataupun memandu kereta mewah ketika ditahan," jelas beliau.

Katanya, persepsi wujud layanan berbeza terhadap pesalah mengikut jenis kenderaan perlu ditangani bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara terpelihara.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan