HULU TERENGGANU, 25 Ogos - Pasar Pagi Bira Sungai di Kampung(Kg) Pantai Ali, mungkin sederhana, tetapi di sebalik deretan gerainya tersimpan cerita tentang kampung, rezeki penduduk dan nostalgia yang masih hidup di tebing sungai.
Seawal pagi setiap hari Jumaat, penduduk setempat mula memenuhi gerai masing-masing dengan hasil pertanian, ternakan, makanan tradisional serta pelbagai produk kampung, sekali gus menjadikan pasar berkenaan medan memperkenalkan keistimewaan dan cita rasa tempatan kepada pengunjung dari luar kawasan.
Suasana persekitaran mula meriah dengan bunyi tawar-menawar, gelak tawa pengunjung dan deretan gerai yang menawarkan pelbagai hasil kampung, mengembalikan nostalgia kehidupan desa ketika sungai menjadi nadi pergerakan masyarakat.
Konsep itu selari dengan usaha menjadikan kampung sebagai destinasi yang bukan sahaja menawarkan pemandangan, tetapi pengalaman sebenar kehidupan masyarakat tempatan.

Bagi generasi terdahulu, sungai bukan sekadar laluan air, sebaliknya menjadi tempat mencari rezeki, berinteraksi dan menjalani rutin kehidupan harian.
Pengasas pasar pagi berkenaan, Zulkifli Ismail, 60, berkata, projek Pasar Pagi Bira Sungai juga melibatkan MY Komuniti Perikanan (MY KP), iaitu komuniti yang terdiri daripada peserta projek sangkar ikan di kawasan tersebut yang berada di bawah bimbingan dan pemantauan Jabatan Perikanan Daerah Hulu Terengganu yang juga merupakan salah seorang penyumbang utama dalam menjayakan pasar berkenaan.
Menurutnya, kira-kira 68 peniaga berdaftar menyertai pasar berkenaan, namun jumlah sebenar mencecah hampir 80 orang berikutan terdapat peniaga yang mengambil lebih daripada satu lot.
Tambah Zulkifli, sambutan menggalakkan turut memberi petanda positif apabila sebahagian peniaga dilaporkan kehabisan jualan, membuktikan konsep pasar komuniti yang menggabungkan elemen ekonomi, warisan dan pelancongan semakin mendapat perhatian.
“Lebih menarik, pengunjung bukan sahaja datang untuk membeli juadah atau hasil kampung, tetapi berpeluang menikmati suasana santai di tepi sungai sambil menyaksikan sendiri kehidupan masyarakat desa yang masih mengekalkan nilai kebersamaan.
“Kewujudan pasar berkenaan dilihat mampu menjadi pencetus kepada aktiviti ekonomi yang lebih luas sekiranya terus diperkasakan secara bersepadu,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman di lokasi pasar di Kampung Pantai Ali, baru-baru ini.

“Apa yang lebih penting, setiap ringgit yang dibelanjakan pengunjung berpotensi berputar dalam ekonomi setempat dan kembali memberi manfaat kepada penduduk kampung,”ujarnya lagi.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Besut, Rosnah Ali, 38, berkata, kewujudan Pasar Pagi Bira Sungai memberikan pengalaman berbeza kerana pengunjung bukan sahaja dapat mendapatkan pelbagai makanan dan produk kampung, malah dapat menikmati suasana pagi di tepi sungai.
“Pasar ini menarik kerana suasananya santai dan tidak sama seperti pasar biasa. Kita boleh berjalan dari satu gerai ke satu gerai sambil menikmati pemandangan sungai dan berinteraksi dengan peniaga.
“Saya juga tertarik untuk membeli produk tempatan kerana dapat menyokong penduduk kampung selain membawa pulang makanan dan barangan yang sukar ditemui di tempat lain,” ujarnya yang sanggup datang dari jauh selepas melihat pasar berkenaan tular di Tik Tok.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Lukman Nazdi, 42,, berkata, Pasar Pagi Bira Sungai mempunyai potensi untuk menjadi salah satu tarikan pelancongan komuniti sekiranya kemudahan dan promosi di lokasi berkenaan terus dipertingkatkan.
“Bagi saya, kekuatan pasar ini terletak pada suasananya. Pengunjung dapat merasai sendiri kehidupan kampung, melihat aktiviti penduduk dan menikmati makanan tempatan dalam satu masa.
“Kalau lebih ramai orang dari luar Hulu Terengganu mengetahui kewujudan pasar ini, saya percaya ia boleh menjadi lokasi pilihan untuk dikunjungi pada hujung minggu atau ketika berada di kawasan ini,” ujarnya.

“Bila datang ke sini, suasana itu masih terasa. Ada peniaga yang kita kenal, ada makanan tradisional dan orang ramai boleh bersembang sambil membeli-belah. Nilai seperti ini yang menjadikan pasar ini istimewa,” katanya.
Justeru, Pasar Pagi Bira Sungai di Kg Pantai Ali bukan sekadar menjadi tempat membeli-belah pada waktu pagi, tetapi sebuah usaha kecil yang membawa makna lebih besar dalam menghidupkan kembali nostalgia, memelihara identiti kampung dan membuka pintu rezeki baharu kepada masyarakat desa.