Oleh: Muhd Amiruddin
DUNGUN, 20 Januari – Pekebun di kawasan Hulu Dungun menggesa pihak berkaitan agar segera menyelesaikan isu kehadiran gajah liar yang telah berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, susulan kerosakan tanaman yang semakin serius dan menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Menurut pekebun, meskipun pelbagai aduan telah dikemukakan kepada pihak berwajib, sehingga kini masih belum kelihatan sebarang penyelesaian berkesan, menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian berulang setiap kali serangan berlaku.
Dalam kejadian terbaharu di Kampung Tepus, semalam, sekumpulan gajah liar dikesan memasuki kawasan kebun penduduk dan merosakkan tanaman pisang serta kelapa, sekali gus memberi kesan besar kepada mata pencarian pekebun setempat.
Keadaan itu menyebabkan pekebun hidup dalam kebimbangan berterusan, selain mengalami kerugian besar apabila tanaman yang dimusnahkan sebahagian besarnya sudah hampir untuk dituai.
Seorang pekebun, Sidek Abdullah, berkata usaha bertahun-tahun yang dilakukan musnah dalam sekelip mata apabila serangan berlaku.
Sementara itu, Hamzah Rahman memaklumkan banyak kebun di sekitar kawasan tersebut telah mengalami kerosakan teruk dan ada yang tidak lagi mampu dipulihkan akibat ketiadaan modal.
“Kebun-kebun orang sebelah sana banyak dah habis. Sawit dua tiga kebun dah rosak, sekarang pula kelapa dan pisang. Inilah satu-satunya sumber pendapatan orang kampung,” katanya.
Situasi berkenaan turut menyebabkan sebahagian pekebun terpaksa menghentikan aktiviti pertanian kerana tidak mampu melakukan penanaman semula.
Pekebun berharap agar satu penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan segera bagi menjamin keselamatan penduduk serta melindungi sumber pendapatan mereka daripada terus terjejas.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, ketika dihubungi berkata laporan berhubung serangan terbaharu itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Dungun untuk tindakan lanjut.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan dalam usaha mencari penyelesaian terbaik bagi menangani isu gangguan gajah liar di kawasan tersebut.