Jalur Gemilang
Berita :
SG4 Sasar KDNK RM723.75 Bilion Menjelang 2050
SG4 Sasar KDNK RM723.75 Bilion Menjelang 2050
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
53

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Gabungan empat negeri di bawah inisiatif SG4, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, berpotensi mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM723.75 bilion menjelang 2050, berdasarkan senario pertumbuhan kompaun tahunan tujuh peratus.

Pengerusi SG4 Group Sdn Bhd, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata sasaran ilustrasi itu mencerminkan potensi ekonomi SG4 sekiranya disokong pelaburan berterusan, peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi dan pelaksanaan pembangunan yang berkesan.

Menurutnya, gabungan KDNK SG4 pada 2025 dianggarkan berjumlah RM133.4 bilion, manakala pelaburan diluluskan bagi tempoh 2020 hingga 2025 mencecah RM220.43 bilion, termasuk RM198.37 bilion dalam sektor pembuatan, dengan potensi menjana 76,306 peluang pekerjaan.

“Kekuatan SG4 merangkumi sektor elektrik dan elektronik, automotif, pembuatan termaju, tenaga boleh baharu, pertanian, pelancongan dan logistik, yang boleh diperkasakan melalui kerjasama rentas negeri.

“Dalam aspek pembangunan bakat, empat negeri itu menghasilkan 131,600 graduan antara 2021 hingga 2024, sekali gus menyediakan kumpulan tenaga kerja berpotensi untuk memenuhi keperluan industry,”ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada SG4 Business & Economic Forum 2026 yang menghimpunkan pelabur, pemimpin industri dan rakan strategik bagi meneroka peluang ekonomi di empat negeri berkenaan.

Dr. Haim Hilman juga turut menekankan kepentingan pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan kecekapan logistik dan memperluas akses pasaran, termasuk cadangan laluan berkembar Timur–Barat yang menghubungkan Kulim Hi-Tech Park dengan Pelabuhan Tok Bali.

“Inisiatif lain termasuk cadangan Lapangan Terbang Kargo KXP di Kedah, peluasan Pelabuhan Kemaman di Terengganu, pembangunan Pelabuhan Tok Bali di Kelantan serta cadangan pelabuhan laut di Sanglang, Jerlun,” jelasnya.

Menurutnya, projek berkenaan berpotensi memperkukuh hubungan antara pusat perindustrian, kemudahan pengangkutan dan pintu masuk perdagangan, tertakluk kepada perancangan teliti, daya maju komersial dan pelaksanaan berkesan.

Beliau  juga berkata kejayaan SG4 bergantung pada keupayaan kerajaan, sektor swasta serta institusi pendidikan dan penyelidikan untuk menyelaraskan kepakaran, modal dan pembangunan modal insan.

SG4 menyasarkan kerjasama yang mampu menterjemahkan peluang ekonomi kepada pelaburan berkualiti, pekerjaan berkemahiran dan kemakmuran bersama, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan