Jalur Gemilang
Berita :
Peruntukan Pembangunan Fasiliti Kesihatan Masih Terlalu Kecil - Alias
Peruntukan Pembangunan Fasiliti Kesihatan Masih Terlalu Kecil - Alias
Zuhdi Abdullah
7 jam yang lepas
115

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Peruntukan pembangunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hanya meningkat RM5 juta dalam Belanjawan 2027 menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kerajaan memenuhi keperluan pembangunan fasiliti kesihatan, khususnya di wilayah yang masih berdepan kekurangan kapasiti hospital dan kemudahan rawatan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, walaupun peruntukan keseluruhan KKM meningkat kepada RM47.7 bilion, pertambahan bagi perbelanjaan pembangunan masih terlalu kecil berbanding keperluan sebenar sistem kesihatan negara.

Menurut beliau, berdasarkan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2027, perbelanjaan pembangunan KKM hanya meningkat daripada RM6.744 bilion kepada RM6.749 bilion, iaitu pertambahan sekitar 0.07 peratus.

“Persoalannya, sejauh manakah peningkatan yang begitu kecil ini mampu memenuhi keperluan pembangunan fasiliti kesihatan, terutama di kawasan yang masih berdepan kekurangan kapasiti hospital dan kemudahan rawatan?,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika membangkitkan isu kecukupan peruntukan kesihatan dalam perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Dr. Alias turut menegaskan bahawa jurang akses kepada perkhidmatan kesihatan perlu diberikan perhatian serius, khususnya di kawasan luar bandar dan wilayah yang masih ketinggalan dari segi kemudahan perubatan, termasuk Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Kesihatan menjelaskan sama ada kerajaan mempunyai pemetaan keperluan fasiliti kesihatan mengikut negeri yang merangkumi tahap keuzuran bangunan, kapasiti katil, keperluan peralatan kritikal serta kecukupan petugas kesihatan.

Katanya, pemetaan yang menyeluruh amat penting bagi memastikan pengagihan peruntukan dibuat berdasarkan keperluan sebenar rakyat, bukannya semata-mata berdasarkan peruntukan sedia ada.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan