Jalur Gemilang
Berita :
Solar Jimat RM100,000 Setahun, Terengganu Inc Mahu ESG Turut Jana Keuntungan
Solar Jimat RM100,000 Setahun, Terengganu Inc Mahu ESG Turut Jana Keuntungan
Mastura Jamal Din
4 jam yang lepas
52

KUALA TERENGGANU, 4 November – Penjimatan kira-kira RM100,000 setahun hasil penggunaan tenaga solar di Primula membuktikan pelaksanaan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bukan sekadar menjaga kelestarian alam, malah mampu memberikan pulangan kewangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, manfaat ekonomi itu menjadi antara sebab ESG perlu dilihat sebagai strategi pelaburan dan pembangunan, bukan sekadar tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Menurutnya, pemasangan sistem solar di premis berkenaan merupakan antara langkah yang dilaksanakan Terengganu Inc (TI) bagi mengurangkan penggunaan tenaga konvensional, sekali gus menjimatkan kos operasi.

“Di Primula, misalnya, penggunaan solar mampu memberikan penjimatan kira-kira RM100,000 setahun.

“Jadi, kalau ada bangunan yang sesuai untuk pemasangan solar, kita akan teruskan kerana ia memberikan manfaat dari segi penjimatan dan kelestarian,” katanya selepas Program ESG Affairs 2026, di sini, semalam.

Burhanuddin berkata, TI turut mempunyai ladang solar dan sedang memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dalam operasinya sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan pelepasan karbon.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan pelaksanaan ESG tidak seharusnya diukur berdasarkan manfaat kepada alam sekitar semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pulangan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.

“Paling penting, kita mahu ESG ini bukan sekadar menjaga alam sekitar, tetapi pada masa sama mampu memberikan pulangan kewangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata, aspek kelestarian semakin menjadi perhatian apabila lebih banyak keputusan pelaburan kini mengambil kira pematuhan terhadap prinsip ESG.

Justeru, beliau berpandangan pendekatan itu perlu diterapkan secara lebih meluas, termasuk dalam proses membuat keputusan di peringkat kerajaan negeri, agensi kerajaan dan sektor swasta.

Menurutnya, TI kini berada pada landasan yang baik dalam pelaksanaan ESG, namun usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenainya masih perlu dipergiat.

“Bagi kita, pelaksanaan ESG berjalan dengan baik. Namun, saya rasa kita perlu mewujudkan kesedaran supaya agensi kerajaan, universiti dan pihak lain turut memahami kepentingan ESG serta bagaimana ia boleh dilaksanakan secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama pelbagai pihak juga penting bagi memastikan pelaksanaan ESG dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang memberikan manfaat kepada negeri.

Sementara itu, Burhanuddin berkata, pelaksanaan ESG oleh TI turut memberi penekanan kepada aspek sosial, khususnya melalui program biasiswa dan pembangunan modal insan.

Antaranya termasuk program Tunas Sekolah yang menggunakan dana zakat bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang yang mempunyai potensi pekerjaan tinggi.

Katanya, program latihan dalam bidang kejururawatan dan fisioterapi turut membuka peluang kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan, termasuk di institusi kesihatan yang memerlukan tenaga kerja mahir.

Beliau berkata, pendekatan itu membuktikan ESG bukan hanya berkisar tentang pengurangan pelepasan karbon atau penggunaan tenaga hijau, tetapi turut merangkumi usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui pendidikan dan peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, Burhanuddin berharap prinsip ESG dapat dijadikan sebahagian daripada budaya kerja dan pertimbangan utama dalam setiap keputusan organisasi, sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta.

“Apabila kita memahami kepentingan ESG, saya berharap cara kerja dan proses membuat keputusan dalam sektor kerajaan serta swasta dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

“Kita mahu kesedaran ini berkembang supaya kelestarian menjadi sebahagian daripada budaya kerja, bukan sekadar program bermusim,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan