KUALA TERENGGANU, 17 September - Kira-kira 580 mahasiswa anak Terengganu dari pelbagai institusi pengajian tinggi berhimpun menerusi Program Sukan PERMATA Kebangsaan (SUPER-K) 3.0 yang menjadi medan mengeratkan hubungan sesama mahasiswa.
Program yang berlangsung di Ar-Riadah Residence dan Kompleks Sukan Gong Badak itu mempertandingkan lima acara utama iaitu Mobile Legends, bola padang, bola jaring, badminton dan sukan rakyat.
Penganjuran SUPER-K 3.0 selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 yang menekankan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan melalui pembudayaan gaya hidup aktif, peningkatan kecergasan fizikal serta pengurangan tekanan mental dalam kalangan mahasiswa.
Penglibatan ratusan mahasiswa dalam pelbagai acara turut menjadikan SUPER-K 3.0 sebagai platform bagi mencungkil bakat, menguji kemampuan serta memupuk semangat kesukanan dan daya saing dalam kalangan anak Terengganu.
Lebih daripada sekadar pertandingan, program berkenaan dilihat mampu memperkukuh jaringan persahabatan dan semangat kebersamaan mahasiswa PERMATA, sekali gus membentuk generasi muda Terengganu yang aktif, berdaya saing dan mempunyai jati diri.
Kejayaan penganjuran SUPER-K 3.0 turut mendapat sokongan Yayasan Terengganu serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Datuk Hishamuddin Abdul Karim yang sentiasa memberikan dorongan kepada golongan muda negeri itu untuk terus mengembangkan potensi, khususnya dalam bidang sukan.
Sokongan berterusan tersebut sekali gus memberi ruang kepada anak muda Terengganu untuk mengasah bakat, membina keyakinan diri dan mengharumkan nama negeri menerusi pencapaian dalam bidang sukan.