Berita :
Syarikat Terengganu, EPIC Catat Perolehan Tertinggi, Untung Melonjak Kepada RM36.9 Juta
Syarikat Terengganu, EPIC Catat Perolehan Tertinggi, Untung Melonjak Kepada RM36.9 Juta
Husaif Mamat
15 jam yang lepas
1043

KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, EPIC Berhad mencatat prestasi kukuh bagi tahun kewangan 2025 apabila merekodkan perolehan tertinggi dalam sejarah kumpulan itu sebanyak RM411.9 juta.

Pencapaian itu meningkat RM8.1 juta berbanding tahun sebelumnya, sekali gus meneruskan trajektori pertumbuhan positif EPIC sejak 2022.

Lebih membanggakan, keuntungan sebelum cukai syarikat melonjak kepada RM36.9 juta berbanding RM28.4 juta pada tahun kewangan 2024, manakala keuntungan selepas cukai turut meningkat kepada RM20.6 juta berbanding RM16.6 juta sebelumnya.

Prestasi berkenaan dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-45 EPIC Berhad yang berlangsung hari ini, dipengerusikan Pengarahnya, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, mewakili Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi EPIC Berhad, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut EPIC, pertumbuhan itu didorong beberapa faktor utama termasuk pengambilalihan Rahar Niaga Sdn Bhd, selain sumbangan kontrak baharu bagi kerja Penyelenggaraan, Pentauliahan dan Pengubahsuaian serta Penyambungan dan Pentauliahan.

Peningkatan jumlah kemasukan pelantar luar pesisir dan pertambahan kendalian kargo turut menyumbang kepada prestasi lebih baik kumpulan sepanjang tahun kewangan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, prestasi 2025 membuktikan keupayaan syarikat mengekalkan momentum pertumbuhan melalui strategi yang berdisiplin, daya tahan operasi serta pelaksanaan inisiatif strategik yang berkesan.

Beliau berkata, kepelbagaian portfolio perniagaan kumpulan memainkan peranan penting dalam mengimbangi kesan kitaran industri, selain membolehkan EPIC memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu.

“Penambahbaikan berterusan dari segi kecekapan operasi dan penggunaan aset kekal menjadi fokus utama ke hadapan,” katanya.

Muhtar berkata, EPIC akan terus memberi keutamaan kepada pertumbuhan secara berdisiplin berpandukan EPIC Business Strategic Plan 2025-2030 dengan penekanan terhadap pengukuhan perniagaan teras, peningkatan kualiti perkhidmatan dan penawaran bernilai tambah dalam ekosistem perkhidmatan sokongan minyak dan gas bersepadu.

Bagi tahun kewangan 2026, EPIC menyasarkan perolehan sebanyak RM441.3 juta, iaitu peningkatan tujuh peratus berbanding tahun kewangan 2025.

Sasaran itu dijangka dipacu pertumbuhan berterusan dalam perniagaan teras, penambahbaikan operasi serta pelaksanaan inisiatif di bawah pelan strategik syarikat.

Langkah itu dilihat selari dengan kedudukan Terengganu sebagai negeri penting dalam sektor minyak dan gas, perkhidmatan pelabuhan, kejuruteraan, marin serta tenaga hijau.

Dari sudut tanggungjawab sosial korporat, EPIC membelanjakan RM2.65 juta pada 2025 bagi pelbagai inisiatif termasuk penajaan sukan, program komuniti, aktiviti keagamaan dan sumbangan kebajikan.

Bagi tahun kewangan 2026, syarikat itu memperuntukkan RM2.75 juta untuk meneruskan komitmen sama, tidak termasuk perbelanjaan bagi program libat urus bersama pihak berkepentingan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan