Berita :
'Syukur, Rumah Usang Berganti Baru Menjelang Hari Raya' - Pak Amer
'Syukur, Rumah Usang Berganti Baru Menjelang Hari Raya' - Pak Amer
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
57

KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Penerima Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS), Sidek atau Amer Awang, 55, tidak dapat menahan sebak apabila rumah lama yang didiaminya sejak kecil, yang sebelum ini usang, uzur dan hampir runtuh dimakan anai-anai, kini diganti dengan sebuah rumah baharu oleh Kerajaan Negeri menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kini Amer bersama pasangannya, Khatijah Awang Chik serta tiga orang anak mereka yang berusia antara 10 hingga 17 tahun menikmati kediaman yang lebih selesa, sekali gus memberi sinar baharu buat mereka sekeluarga untuk menyambut ketibaan Syawal dengan lebih tenang.

Menurut Amer, rumah yang didiaminya sebelum ini merupakan rumah peninggalan arwah ibu bapanya dan telah didiami sejak beliau masih kecil.

“Saya mendiami rumah ini dari kecil lagi, milik arwah ibu bapa saya. Rasa sangat bersyukur apabila permohonan bagi mendapatkan rumah ini dinilai oleh Kerajaan Negeri.

“Pada tahun 2025, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi datang melihat keadaan rumah kami yang hampir runtuh ini.

“Alhamdulillah, kini rumah baharu telah siap dibina dan dapatlah kami sekeluarga tinggal dengan lebih selesa. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pihak media di kediamannya di Gelong Bilal sempena Majlis Penyerahan Rumah PPTS yang disempurnakan oleh Dr. Muhammad Khalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri.

Seorang lagi penerima, Sakarta Masae, 42, turut melahirkan rasa syukur apabila menerima rumah baharu melalui projek PPTS di Kampung Nibong Atas.

“Dapatlah kami tinggal di rumah baharu, sangat bermakna buat kami sekeluarga. Saya nak ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Muhammad Khalil berkata, kos bagi setiap rumah tersebut adalah sebanyak RM75,000 bagi pembinaan baharu, dan kedua-dua penerima dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

“Permohonan yang diterima bagi projek perumahan ini sangat banyak. Namun kita mengharapkan agar rakyat bersabar kerana terdapat prosedur yang perlu dipatuhi.

“Kita doakan mudah-mudahan pada masa akan datang Allah murahkan rezeki dan kita dapat menambahkan lagi jumlah rumah yang perlu dibina,” ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai yang ingin mendapatkan penjelasan mengenai syarat serta kriteria permohonan boleh merujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Burok.

“Rumah Amer ini kita ambil tindakan segera untuk merobohkan rumah asal yang hampir runtuh sebelum pembinaan baharu dilaksanakan.

“Bersempena sambutan Hari Raya yang bakal menjelang, siapnya rumah ini membolehkan mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri dengan lebih selesa,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan