Berita :
'Projek Bilion Tapi Baiki Jalan Guna Kaki!' - Dr Azman Bidas Kontraktor Cuai
'Projek Bilion Tapi Baiki Jalan Guna Kaki!' - Dr Azman Bidas Kontraktor Cuai
Hidayah Azlin
9 jam yang lepas
142

SETIU, 4 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim menyelar sikap acuh tidak acuh segelintir kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan rosak secara sambil lewa tanpa mengikut piawaian yang ditetapkan.

Beliau mendedahkan pernah menegur kontraktor Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebelum ini yang didapati hanya menggunakan kaki untuk memampatkan tar ketika menampal jalan yang rosak.

“Buat kerja betul-betul. Nak mampatkan jalan guna stemrol (jentolak penggelek). Saya pernah tegur kontraktor ECRL yang tampal jalan rosak hanya pijak guna kaki.

“Projek bilion-bilion, bila jalan rosak hanya baiki pakai kaki!" katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya pada Khamis.

Dr Azman menegaskan bahawa setiap projek pembangunan mahupun penyelenggaraan infrastruktur mestilah dilaksanakan dengan penuh integriti demi keselamatan dan keselesaan orang ramai.

"Kena buat betul-betul kerja untuk rakyat kerana ini adalah tanggungjawab," ujarnya lagi.

Tinjauan tapak projek pembinaan jalan baharu yang dikhaskan untuk kemudahan penduduk di Kampung Kepala Gajah, Jabi.

Dalam nada berseloroh, Dr Azman turut sempat berseloroh dengan netizen agar tidak bertanyakan lokasi yang bukan-bukan kepada beliau.

"Ini jalan baru untuk warga Kg Kepala Gajah Jabi. Jangan tanya di mana Kg Ekor Gajah sebab saya tidak tahu," katanya secara berseloroh.

Isu kualiti turapan jalan sering menjadi perhatian masyarakat di kawasan DUN Jabi, dan ketegasan ADUN berkenaan diharapkan dapat memastikan pihak kontraktor lebih serius dalam melaksanakan tugasan mereka selepas ini.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan