Berita :
Tarik Pukat Berpotensi Jadi Produk Pelancongan Unik
Tarik Pukat Berpotensi Jadi Produk Pelancongan Unik
Abdul Fattah Kamarudin
1 hari yang lepas
200

MARANG, 10 Mei – Aktiviti tradisi masyarakat pesisir pantai seperti tarik pukat dan candat sotong berpotensi menjadi produk pelancongan unik yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu.

Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu Universiti Utara Malaysia (Permata UUM), Adenin Azharramadhan Hamidi berkata, pengalaman menyertai aktiviti tarik pukat buat pertama kali memberi pengalaman yang sukar diperoleh di tempat lain.

“Tarik pukat ni jujur saya first time, tak biasa lagi. Pernah tengok tapi belum pernah turut serta.

“Jadi hari ni kami ikut serta, memang best. Pengalaman tu tak dapat di tempat lain. Dengan tunjuk ajar dari orang kampung, dapatlah kami rasai pengalaman susah payah nelayan dalam mencari rezeki sehari-hari,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyertai Program Jalinan Kasih yang dianjurkan hasil kerjasama Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) di Jambu Bongkok, di sini.

Program berkonsepkan keluarga angkat selama tiga hari dua malam itu menghimpunkan mahasiswa bersama penduduk kampung melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan budaya setempat.

Menurut Adenin, aktiviti berasaskan kehidupan masyarakat setempat sangat sesuai diketengahkan sebagai tarikan pelancongan kerana masih ramai pelancong dari luar Terengganu yang belum pernah merasai pengalaman seperti menarik pukat dan mencandat sotong.

“Aktiviti ini sesuai dijadikan tarikan pelancong. Kadang-kadang pelancong dari luar Terengganu sendiri belum pernah merasai aktiviti tarik pukat dan candat sotong.

“Dengan aktiviti seperti ini dapatlah tarik minat pelancong. Saya juga dimaklumkan ada pengusaha chalet di tepi pantai yang turut menyediakan aktiviti-aktiviti seperti ini kepada pengunjung,” katanya lagi.

Selain aktiviti tarik pukat, program tersebut turut diisi dengan penanaman pokok kelapa, sesi career talk bersama TDM dan pertandingan Master Chef.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan merangkap ayah angkat Permata UUM, Sulaiman Sulong berkata, pemilihan Jambu Bongkok sebagai lokasi penganjuran program kerana kawasan itu mempunyai nilai pelancongan tersendiri selain sudah biasa menerima kunjungan mahasiswa dari pelbagai universiti.

“Kami memilih Jambu Bongkok kerana nilai pelancongan yang dimilikinya, sesuai untuk aktiviti yang dekat dengan kehidupan nelayan.

“Mahasiswa ini seterusnya akan menjadi ejen di kampus masing-masing, berkongsi cerita dari mulut ke mulut dan seterusnya menarik lebih ramai pelancong untuk bercuti di Terengganu,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan