Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Labuh Tirai Program Kerjaya Pegawai Tadbir Empat Negeri
Terengganu Labuh Tirai Program Kerjaya Pegawai Tadbir Empat Negeri
Ahmad Zaeem Zainudin
11 jam yang lepas
61

KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Sukan Empat Negeri 2026 sempena Program Peningkatan Kemajuan Kerjaya Pegawai Tadbir Negeri (PTN) Terengganu, Kelantan, Kedah dan Johor kini telah melabuhkan tirai secara rasmi.

Majlis perasmian penutup kejohanan dwi-tahunan tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, 

Menurut beliau, himpunan itu bukan sekadar medan perebutan pingat, sebaliknya menjadi platform penting dalam memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan perkhidmatan awam negeri.

"Di pejabat, kita diuji dengan kerangka dasar awam dan pelbagai kerenah pentadbiran yang menuntut ketegasan dan ketelitian.

"Namun, di gelanggang sukan, terserlah semangat berpasukan, daya tahan mental, kepimpinan serta keupayaan untuk bangkit daripada kekalahan.

"Nilai-nilai inilah yang kita perlukan dalam perkhidmatan awam," katanya sebelum menegaskan hubungan yang terjalin dapat dijadikan jambatan untuk memperluas perkongsian ilmu dan amalan terbaik.

Sepanjang seminggu, himpunan empat negeri menyaksikan persaingan dalam pelbagai acara sukan demi menaikkan nama negeri masing-masing.

Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan kebudayaan dan kesenian yang dibawakan khas oleh kontinjen setiap negeri.

Dalam majlis itu juga, kontijen PTN Terengganu telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan manakala naib juara jatuh ke tangan Kedah diikuti Johor serta Kelantan di tempat keempat.

Slogan penutup, 'Terengganu 2026 telah melakar kenangan, Kedah 2028 menanti untuk mencipta sejarah baharu!' diumumkan sebagai simbolik penyerahan peranan tuan rumah kepada negeri Kedah.

"InsyaAllah, dua tahun dari sekarang, kita akan kembali bertemu di Bumi Jelapang Padi, Kedah Darul Aman pada tahun 2028.

"Kita mungkin berpisah malam ini sebagai kontinjen dari empat negeri, namun semangat persaudaraan dan setiakawan akan terus menyatukan kita," ujar Dato' Azmi.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan