Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Teliti Potensi Produk Pelancongan Baharu
Terengganu Teliti Potensi Produk Pelancongan Baharu
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
26

KUALA TERENGGANU, 19 November – Kerajaan Negeri terus komited memperkukuh sektor pelancongan menerusi penelitian terhadap cadangan pembangunan produk dan tarikan pelancongan baharu di beberapa kawasan berpotensi di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, antaranya cadangan pembangunan Duyung Heritage Trail, kemudahan kereta kabel di Hutan Lipur Chemerong serta pengembangan produk pelancongan sejarah dan warisan.

“Bagi cadangan Duyung Heritage Trail yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSr. Zaharudin Zahid, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah mengenal pasti potensinya untuk diketengahkan sebagai produk Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT).

“Bagaimanapun, pelaksanaannya memerlukan kerjasama dan kesediaan komuniti setempat untuk membangunkan serta menguruskan produk pelancongan berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Sementara itu Razali berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu akan meneliti cadangan pembinaan kemudahan kereta kabel di Hutan Lipur Chemerong oleh ADUN Bukit Besi Ghazali Sulaiman terutamanya aspek kesesuaian kawasan, keperluan teknikal dan kebolehlaksanaan pembangunan.

“Dalam usaha memperkukuh pelancongan bandar dan Islamik pula, Kerajaan Negeri turut meneliti cadangan menjadikan Masjid Abidin atau Masjid Putih di Kuala Terengganu sebagai lokasi wajib singgah pelancong.

“Cadangan itu turut melibatkan penambahbaikan aspek kebersihan, penyelenggaraan dan kemudahan awam di kawasan masjid, selain penganjuran program bersesuaian serta kemungkinan pengecualian fi tertakluk kepada peraturan dan kelulusan pihak berkuasa,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan melihat keperluan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih dan pemuliharaan lokasi bersejarah yang berpotensi, termasuk lokasi yang dibangkitkan ADUN Jertih Dr. Riduan Mohamad Nor serta bangunan bekas Mahkamah Kemasik seperti dicadangkan ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili.

“Bagi kawasan DUN Air Putih pula, potensi pembangunan laluan pelancongan (tourism trail), fasiliti dan kemudahan asas turut diberi perhatian menerusi penelitian awal Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

Menurut beliau, lawatan bagi mengenal pasti potensi produk pelancongan di kawasan berkenaan telah dilaksanakan, termasuk meneliti cadangan pembangunan Cek Mek Hot Spring di Cerul, Kemaman yang terletak di atas tanah persendirian dan memerlukan persetujuan pemilik tanah.

“Setiap cadangan pembangunan akan dinilai berdasarkan kesesuaian lokasi, kebolehlaksanaan, keperluan infrastruktur serta potensi impaknya terhadap pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat,” jelasnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan