KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) mengumumkan kerjasama strategik bersama redBus, sebuah platform tempahan tiket bas dalam talian dengan melancarkan Inisiatif Pendigitalan Pelancongan Terengganu, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris memaklumkan, kerjasama itu bertujuan mengubah ekosistem pelancongan negeri tersebut.
Menurutnya, usahasama yang dimulakan dalam bentuk Seminar Digitalisasi Pelancongan ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dan rakan strategik dalam memperkasakan industri pelancongan melalui pendigitalan agar lebih berdaya saing dan relevan dengan kehendak pelancong masa kini.

"Mungkin sebelum ini kita sudah ada Tahun Melawat Terengganu, tetapi tahun depan akan bersekali dengan sedikit pindaan 'tagline' dan wawasan dengan mengguna pakai Truly Terengganu.
"Ia akan jadi satu platform bagi kerajaan negeri untuk memastikan produk, budaya, alam semula jadi negeri kita dapat dipasarkan ke seluruh dunia," katanya ketika berucap merasmikan seminar berkenaan di Paya Bunga Hotel, hari ini.
Tambahnya, seminar hari ini sangat penting kerana redBus memiliki capaian di seluruh dunia.
"Oleh itu saya minta para peserta bersungguh-sungguh untuk memastikan rakan strategik ini berjaya," katanya.
Seminar berkenaan menghimpunkan sekitar 100 pemain industri pelancongan dalam negeri untuk mengetengahkan pemasaran produk mereka secara lebih meluas.
Dalam pada itu, Razali turut mendedahkan tinjauan dari Survei Pelancongan Domestik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Terengganu menerima 15.45 juta pelawat domestik pada tahun 2025.