Jalur Gemilang
Berita :
Wanita Terengganu Perlu Tampil Sebagai Pemimpin, Pembuat Keputusan
Wanita Terengganu Perlu Tampil Sebagai Pemimpin, Pembuat Keputusan
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
85

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Wanita Terengganu perlu tampil bukan sekadar sebagai penerima manfaat pembangunan, sebaliknya memainkan peranan lebih besar sebagai penggerak, pemimpin dan rakan strategik dalam membangunkan masyarakat serta negeri.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, kepimpinan wanita pada masa kini tidak lagi boleh dilihat dalam ruang kecil atau terhad kepada peranan tertentu sahaja.

Sebaliknya, perlu merangkumi pelbagai bidang termasuk keluarga, komuniti, ekonomi, pendidikan, kebajikan, keusahawanan dan proses membuat keputusan.

Katanya, usaha memperkukuh kepimpinan wanita penting bagi melahirkan golongan yang bukan sahaja berani tampil ke hadapan, malah mempunyai ilmu, kemahiran, keyakinan, nilai dan keupayaan menyelesaikan masalah masyarakat.

“Wanita Terengganu yang ingin kita bina ialah wanita yang mampu berdiri dengan ilmu, mampu menyumbang dengan kemahiran, memimpin dengan hikmah serta menjadi kekuatan kepada keluarga, masyarakat dan negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kursus Kepimpinan Wanita Terengganu Siri 2 2026 di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru, Kuala Nerus, semalam. 

Menurut Roslina, kursus berkenaan turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai hala tuju dan dasar kepimpinan wanita Terengganu, selain meningkatkan pengetahuan berkaitan program pembangunan wanita dan perpaduan sosial.

Tambahnya, program itu juga bertujuan memperkukuh kemahiran kepimpinan wanita di peringkat komuniti dan membina jaringan kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan dengan pemimpin wanita.

“Apabila kita bercakap tentang agenda kepimpinan wanita Terengganu, kita tidak boleh memisahkannya daripada Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030.

“Kita semua adalah wakil kepada Menteri Besar Terengganu, pemimpin di peringkat daerah, DUN dan juga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Kepimpinan bukan semata-mata kita memegang jawatan, tetapi ia adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan,” ujar beliau.

Roslina berkata, Kursus Kepimpinan Wanita Siri 1 yang berlangsung pada Januari lalu membabitkan kira-kira 300 pemimpin NGO wanita dengan pendedahan berkaitan peluang dan  peranan wanita serta perpaduan sosial.

Katanya, bagi siri kedua, pengisian diperluaskan dengan melibatkan pakar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan beberapa agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

“Apabila kita bergerak ke agensi, semua agensi itu ada perkara yang hendak dikongsikan bersama dengan wanita.

“Insya-Allah pada 2027 nanti, banyak lagi perkara yang kita akan kongsikan bersama pemimpin wanita Terengganu,” katanya.

Ujarnya lagi, usaha memperkukuh kepimpinan wanita perlu diteruskan secara berterusan bagi memastikan lebih ramai wanita mampu menyumbang secara berkesan kepada pembangunan masyarakat dan negeri.

Justeru itu, beliau turut berharap kursus berkenaan menjadi titik permulaan kepada kelahiran lebih ramai pemimpin wanita Terengganu yang berilmu, berkeyakinan, berintegriti dan dekat dengan masyarakat.

“Marilah kita bersama-sama memperkukuh peranan wanita dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri menuju Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan