Jalur Gemilang
Berita :
YDSM Sumbang RM170,000 Sempena Bulan Infak YAPEIM
YDSM Sumbang RM170,000 Sempena Bulan Infak YAPEIM
Mastura Jamal Din
19 jam yang lepas
46

HULU TERENGGANU, 3 Oktober – Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) menyerahkan sumbangan dana korporat berjumlah RM170,000 kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) sempena pelancaran Bulan Infak YAPEIM Peringkat Negeri Terengganu 2026, hari ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Tuan Abdul Khudus Mohd Naaim berkata, sumbangan berkenaan mencerminkan sokongan sektor korporat dalam memperkukuh budaya infak serta memperluas manfaatnya kepada golongan yang memerlukan.

“YAPEIM terus berusaha memperluas penyertaan penyumbang individu dan korporat bagi memastikan manfaat infak dapat disalurkan secara lebih menyeluruh kepada golongan sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis peluncuran Program Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) Usahasama YAPEIM dan YDSM 2026 di Kenyir Elephant Cultural Village (KECV), di sini.

Menurutnya, Bulan Infak YAPEIM turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan infak serta memperkukuh pengurusan dana secara cekap, telus dan berintegriti.

Pada majlis sama, Tabung Kebajikan dan Pelajaran YAPEIM (TKPY) menerima sumbangan terkumpul RM42,800 daripada penyumbang korporat dan individu.

Turut dilancarkan Infaq Elephant Walk 2026 dan Projek Tanaman Napier serta penyerahan pelbagai bantuan meliputi pendidikan, kemasyarakatan dan pembangunan ekonomi.

Untuk rekod, YAPEIM telah mengagihkan lebih RM767 juta kepada lebih 10.6 juta penerima manfaat di seluruh negara sejak 1985 hingga Ogos 2026, merangkumi bidang pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan.





Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan