Berita :
YPU Saran Peniaga Veteran Hentian Bas MBKT Sertai Ekosistem Digital
YPU Saran Peniaga Veteran Hentian Bas MBKT Sertai Ekosistem Digital
Ahmad Zaeem Zainudin
12 jam yang lepas
138

KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) mahu lebih ramai peniaga di Kompleks Hentian Bas MBKT menyertai program Sahabat YPU bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan perkembangan perniagaan digital semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, antara cabaran utama dihadapi kawasan perniagaan itu ialah faktor usia peniaga serta kurang minat generasi muda untuk mewarisi perniagaan keluarga.

"Sebab mereka ini istilahnya, minta maaflah orang yang berniaga sini, ramai orang lama-lama dah. Kalau tahun 1994 itu umur masa 40 tahun, sekarang ini mungkin dah berumur 70, 60.

"Dan anak-anak mereka sebahagiannya tak berminat pun untuk mewarisi perusahaan ini. Sebab itulah sebahagian kedai di sini dia tutup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Makan Tengahari bersama Peniaga Stesen Bas Kuala Terengganu, semalam.

Menurut beliau, peniaga di kawasan itu perlu mengambil peluang memanfaatkan kaedah e-dagang untuk mempromosikan produk dan menarik semula kehadiran pelanggan.

"Tapi dia ada kaedah sekarang ini, boleh kerjasama dengan e-dagang.

"Boleh kita kembangkan sebenarnya sama ada e-dagang ini untuk mempromosi tempat ini dan juga mempromosi kedai-kedai yang ada di atas ini supaya orang datang ke sini," jelasnya.

Katanya, kerajaan Negeri dan YPU juga bersedia membantu peniaga meneroka platform digital termasuk TikTok dan Shopee.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi berkata, usahawan yang menyertai Sahabat YPU akan menerima pelbagai maklumat berkaitan kursus, bantuan dan kemudahan yang ditawarkan agensi berkenaan.

"Kalau sertai usahawan Terengganu (Sahabat YPU) yang mana kita akan wujudkan satu pusat, di situ kita salurkan semua maklumat, kursus ataupun bantuan yang kita sediakan di YPU.

"Jadi mereka boleh tahu disitu apa yang mereka nak dapatkan. Pinjaman ke ataupun nak dapatkan geran ataupun sebagainyalah," jelasnya.

Tambah Afnida, YPU juga kini memberi penekanan kepada latihan berkaitan e-dagang bagi membantu usahawan memperluaskan pasaran perniagaan mereka.

"Mungkin kita pun kena buat satu program untuk beri kesedaran pada mereka supaya mereka ini dekat dengan YPU.

"Dan di situ kita boleh bantu mereka macam mana nak tingkatkan lagi perniagaan mereka. Dia ada kursus online yang berkaitan dengan e-dagang," katanya.

Menurutnya lagi, sambutan usahawan Terengganu terhadap platform digital semakin memberangsangkan apabila ramai dalam kalangan mereka berjaya membina pengaruh sendiri di media sosial.

"Kalau ikut statistik TikTok sendiri, sebenarnya usahawan kita yang berdaftar dengan TikTok pun sebenarnya dah ramai.

"Usahawan Terengganu ini ada yang sudah capai 100,000 pengikut," ulasnya selepas menegaskan kepentingan untuk usahawan menyahut potensi capaian yang ada pada platform digital.


Ketupat

Artikel Berkaitan