lightning-solid
Berita :
Intitusi, Agensi Diseru Untuk Angkat Inovasi Pelajar Ke Laluan Industri
Intitusi, Agensi Diseru Untuk Angkat Inovasi Pelajar Ke Laluan Industri
Ahmad Zaeem Zainudin
16 jam yang lepas
36

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Hasil reka cipta dan inovasi pelajar yang diketengahkan menerusi Ekspo Reka Cipta & Inovasi Terengganu 2026 perlu diberi ruang untuk dikembangkan sehingga mampu dipatenkan dan dimanfaatkan dalam sektor industri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri , Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, usaha tersebut memerlukan penglibatan pelbagai institusi, agensi dan syarikat bagi memastikan idea yang dihasilkan tidak terhenti di peringkat pameran.

Menurut beliau, hasil inovasi berkenaan berpotensi dimanfaatkan dalam pelbagai bidang industri termasuk pertanian atau perikanan sekiranya mendapat sokongan serta kepakaran yang bersesuaian.

"Apabila mereka mempamerkan inovasi mereka ini, kita harap sebenarnya ada institusi-institusi lain, agensi-agensi lain ataupun syarikat-syarikat yang boleh ambil manfaat, patenkan dia dan juga untuk digunakan dalam industri.

"Guna sama ada dalam bidang pertanian, perikanan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Reka Cipta & Inovasi Terengganu 2026 di Terengganu Trade Centre (TTC), di sini, semalam.

Tambah Satiful, Yayasan Terengganu buat masa ini berperanan menyediakan platform pada peringkat awal bagi mengetengahkan hasil inovasi yang dihasilkan peserta, manakala proses pengembangan ke peringkat industri memerlukan kerjasama lebih luas.

"Setakat ini kita di pihak Yayasan Terengganu untuk peringkat awal ini adalah menyediakan platform untuk menonjolkan inovasi ini dahulu. 

"Tapi untuk peringkat akan datang itu, ia melibatkan semua pihak lah termasuk universiti-universiti dan sebagainya," jelasnya kepada pemberita.

Ulasnya lagi, proses membawa sesuatu hasil penyelidikan atau inovasi ke pasaran memerlukan kemahiran dan kepakaran khusus, terutama dalam aspek pemasaran sebelum ia boleh diindustrikan.

"Ramai yang buat kajian, tapi untuk pemasaran dan sebagainya ia memerlukan kemahiran, kepakaran lain khususnya golongan-golongan dalam bidang pemasaran dan sebagainya untuk diindustrikan," ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama dengan HRD Corp (HRDC) dan pihak berkaitan juga boleh menjadi antara aspek yang dikembangkan pada masa akan datang bagi membantu memperkukuh ekosistem pengembangan inovasi di peringkat awal itu.

"Jadi kerjasama kita dengan HRDC dan sebagainya merupakan salah satu antara aspek yang boleh dikembangkan untuk masa-masa akan datang insya-Allah," katanya.

Dalam pada itu, Satiful juga berkata di dalam ucapan perasmiannya bahawa ekspo berkenaan perlu dilihat bukan sekadar pertandingan atau pameran, sebaliknya sebagai medium antara kreativiti dan penyelesaian kepada masalah di lapangan.

"Atas sebab itulah, saya melihat ekspo ini bukan sekadar sebuah pertandingan atau pameran, tetapi sebagai wadah untuk mencetuskan idea, menguji penyelesaian dan menghubungkan kreativiti serta teknologi dengan masalah sebenar yang dihadapi masyarakat," katanya.


Artikel Berkaitan