i-RAHMAN Bukan Berbentuk Pinjaman Peribadi

KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-RAHMAN) bukan berbentuk pinjaman peribadi atau pinjaman perumahan sebagaimana ditawarkan oleh bank komersial, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Menurutnya, ia tidak seperti Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang membenarkan pemohon untuk membuat permohonan sebanyak mana yang diingini.

“Kerajaan Negeri akan mengadakan usahasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang berpengalaman luas dalam pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh Malaysia.

“Satu reka bentuk konsep rumah yang patuh syariah, berkeluasan 1000 kps yang diberi nama Rumah Mesra Rakyat Darul Iman (RMR RAHMAN) akan dibina oleh pihak SPNB.

“Pembinaan akan dibuat di atas tanah pemohon sebagaimana spesifikasi berikut iaitu tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi tadi.

Beliau menjelaskan, Pembinaan RMR RAHMAN ini akan mendapat subsidi daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sebanyak RM20,000 bagi setiap unit rumah yang akan dibina.

“Kos yang akan ditanggung oleh pemohon adalah berjumlah RM55,000 dengan bayaran balik bulanan RM286.00 sebulan selama 15 tahun.

“Pembiayaan ini adalah pembiayaan tanpa faedah dimana penawaran dan kutipan balik pembiayaan akan diuruskan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan Rumah Mampu Milik di negeri Terengganu.

“Untuk makluman, tanah atau tapak cadangan tuan-tuan dan puan-puan akan dibuat gadaian kepada pihak PMINT yang bertindak sebagai pemegang amanah bagi menjamin pembiayaan i-RAHMAN ini,” katanya lagi.

Bagi tujuan beli rumah penswastaan pula, Alias Razak memaklumkan, kerajaan negeri memberi nafas baharu kepada rakyat tidak berjaya mendapatkan pinjaman melalui bank komersial (not bankable), setelah mendapat tawaran oleh SUK (Bahagian Perumahan) untuk memiliki rumah jenis A (Swasta).

“Kami sekali lagi ingin membantu golongan ini untuk mendapatkan pembiayaan, iaitu dengan menawarkan pembiayaan di bawah skim i-RAHMAN ini bagi memastikan golongan ini akan mendapat pembiayaan bagi membeli rumah penswastaan tersebut.

“Jumlah pembiayaan bagi tujuan beli rumah penswastaan berkenaan adalah maksimum sebanyak RM80,000 maksimum mengikut lokaliti harga sesuatu projek perumahan.

“RM5,000 perlu dibayar oleh pihak pemohon sebagai deposit dan bayaran bulanan sebanyak RM266.70 selama 25 tahun akan dikenakan kepada pemohon tanpa sebarang faedah dan perlu dibayar kepada PMINT selaku pengurus dana i-RAHMAN," jelasnya.

Tambah beliau, pembiayaan tersebut akan disalurkan terus oleh pihak PMINT kepada pihak pemaju perumahan penswastaan yang dipilih dalam permohonan.

Untuk pengetahuan, permohonan i-RAHMAN bagi bina rumah atas tanah sendiri/pihak ketiga (RMR RAHMAN) bagi tahun 2022 kini boleh dibuat menggunakan sistem e-Perumahan Versi III bermula 17 Oktober 2021 sehingga 28 Februari 2022 di pautan laman sesawang https://eperumahan.terengganu.gov.my.