Berita :
Isu 3R Jangan 'Double Standard'
Isu 3R Jangan 'Double Standard'
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
89

KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Isu berkaitan agama, kaum dan Institusi Diraja (3R) tidak boleh ditangani secara ‘double standard’ oleh Kerajaan Madani kerana perkara tersebut melibatkan tonggak utama negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sejak awal lagi pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan undang-undang 3R sebagaimana yang pernah dibawa sebelum ini kerana perkara berkaitan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu serta bangsa Melayu sudah pun jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Negara.

Menurutnya, Islam telah ditetapkan sebagai agama rasmi Persekutuan yang turut menjamin kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan Bumiputera yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam sistem perundangan negara.

“Apabila dibawa undang-undang tersebut, ia kelihatan agak janggal kerana dalam Perlembagaan kita sudah pun ada perkara-perkara tersebut.

“Kerana itu kita perlu membezakan antara pihak yang mempergunakan isu agama, raja dan kaum untuk kepentingan tertentu dengan usaha memastikan perkara-perkara tersebut terus dipelihara,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Rumah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) di Kampung Nibong dan Padang Gelong Bilal, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap pendekatan Kerajaan Madani ketika ini yang menurutnya dilihat membawa naratif kesamarataan semua agama tanpa mengambil kira konsep sebenar keadilan.

“Konsep sebenar keadilan dalam Islam bukan bermaksud sama rata, tetapi sesuatu perkara itu mesti diletakkan pada tempatnya,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, tuntutan supaya hak golongan minoriti sentiasa dipelihara sering disuarakan, namun pada masa yang sama golongan tersebut juga perlu menghormati dan menjaga hak majoriti dalam negara.

“Majoriti rakyat negara ini adalah orang Melayu dan agama yang dominan ialah Islam sehingga diletakkan dalam Perlembagaan. Tonggak ini perlu dijaga dengan sebaik-baiknya supaya tidak diambil kesempatan oleh pihak tertentu,” katanya.

Tegasnya, tindakan tegas sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang menghina agama Islam bagi mengelakkan timbulnya persepsi bahawa penguatkuasaan undang-undang dilakukan secara tidak adil.

Katanya, beberapa insiden penghinaan terhadap Islam sepatutnya diambil tindakan, namun berlaku sebaliknya sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Kita bimbang apabila berlaku isu seperti menghina atau memijak al-Quran, tindakan yang diambil terlalu perlahan. Sebaliknya apabila orang Melayu Islam tersilap cakap tanpa sengaja menyentuh sensitiviti agama lain, mereka dihentam dengan begitu teruk, dipaksa membuat permohonan maaf dan dikenakan pelbagai tindakan.

“Ini menimbulkan persepsi berlakunya ‘double standard’,” ujarnya.

Mengulas mengenai kemungkinan salah faham agama yang boleh menimbulkan persengketaan, beliau berkata pendidikan perlu diberi keutamaan selain penguatkuasaan undang-undang.

“Undang-undang memang perlu ada, tetapi ia mesti disertakan dengan pendidikan sama ada secara formal ataupun tidak, supaya masyarakat dapat memahami antara satu sama lain dan hidup dalam keadaan aman serta damai,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan