Jabatan Pelancongan Berhasrat Hidupkan Kembali 'Pesta Pantai'
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) berhasrat mahu menghidupkan kembali acara Pesta Pantai yang pernah menjadi fenomena dan acara tahunan rakyat negeri ini dengan memastikan ia lebih patuh syariah.
Pengarahnya, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, hasrat itu difikirkan relevan bagi memastikan sektor pelancongan di negeri ini sentiasa hidup dengan pelbagai acara.
Katanya, pertunjukan seni budaya, adat tradisi dan makanan tradisional terkenal yang ada di dalam negeri ini akan menjadi pengisian pada acara Pesta Pantai itu nanti.
"Apabila kita beri penekanan kepada elemen tradisi, kebudayaan dan warisan sudah tentu ia akan menjadi nilai tambah dari segi pendedahan berkaitan dengan kehebatan budaya.
"Memberi impak yang baik serta akan menjadi satu 'wow factor' kepada daya tarikan untuk pelancong datang melawat Terengganu.
"Sebab itu kita hendak menghidupkan balik Pesta Pantai ini dalam memastikan Terengganu akan terus meriah dikunjungi selain ia akan memberi impak ekonomi yang baik kepada komuniti setempat," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Penganjuran Pertandingan Gamelan Melayu (Senandung Terengganu) di Bilik Ulek Mayang Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negara (JKKN) negeri, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, menjadi kebiasaan serta kemestian sesebuah negara yang menerima ramai pengunjung adalah disebabkan memiliki kebudayaan, kesenian serta warisan yang menarik.
"Kita andaikan diri kita sendiri seandainya kita pergi ke Korea dan Jepun sudah tentu kita mahu mempelajari serta mengetahui sejarah dan seni budaya yang terdapat di negara terbabit," ujarnya.