KUALA TERENGGANU, 10 Mac- Kerajaan negeri menyasarkan kedatangan 150,000 pengunjung ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) melalui pelbagai pelaksanaan program yang dianjurkan sepanjang tahun.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, sasaran tersebut juga berdasarkan kerjasama strategik di antara semua pihak terlibat sekaligus menyokong komitmen Kerajaan Negeri untuk membangunkan industri Pelancongan serta meningkatkan lagi taraf sosial rakyat Terengganu.
“Keunikan Jambatan Angkat ini telah berjaya merekodkan bilangan pengunjung seramai 595,579 orang terdiri daripada pengunjung domestik dan antarabangsa pada tahun lepas.
”Rekod ini adalah bagi tahun pertama pengoperasian iaitu tahun 2019 sehingga bulan Mac 2025,”ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengendalian dan Pengurusan Operasi Jambatan Angkat Antara Kerajaan Terengganu Dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Trg Inc) Serta Penyerahan Perjanjian Pengendalian Dan Pengurusan Operasi Kepada TI Properties Sdn Bhd di sini, petang semalam.
Berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh pihak Terengganu Inc, Kerajaan Negeri melalui keputusan MMKN pada 7 Ogos 2024 telah bersetuju bagi penyambungan dan perlanjutan tempoh pengendalian dan pengurusan operasi Drawbridge bagi tempoh lima tahun berikutnya iaitu bermula 1 Jun 2024 hingga 31 Mei 2029.
Tambah Tun Ahmad Faisal yang juga Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), bagi memastikan kelancaran pengoperasian dan pengurusan Jambatan Angkat, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pemantauan Operasi Drawbridge telah menetapkan had muatan berat lima tan ke bawah yang boleh melalui jambatan berkenaan dengan kelajuan 30 kilometer sejam.
“Kita akan memasang 20 papan tanda di kawasan sekitar sebagai peringatan kepada orang ramai.
“Langkah pencegahan lain yang akan dilaksanakan dengan kadar segera ialah pemasangan palang ketinggian dan penyediaan garisan kuning ”Speed Breaker” sebagai kawalan had laju kenderaan yang melalui Drawbridge,” katanya.