Jambatan Ikonik Tasik Kenyir Beroperasi Mei Ini
HULU TERENGGANU, 25 Februari - Jambatan Ikonik yang kini dalam proses akhir pembinaan pastinya menjadi kebanggaan penduduk daerah ini apabila beroperasi sepenuhnya pada pertengahan Mei 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, jambatan yang dibina di Pulau Poh, Tasik Kenyir itu merupakan sebahagian daripada skop projek pembangunan Pusat Bebas Cukai Tasik Kenyir menelan kos RM107 juta.
"Mercu tanda ini bakal mencipta sejarahnya tersendiri sekali gus dilihat menjadi tarikan baharu pengunjung ke tasik buatan manusia yang sememangnya terkenal dalam kalangan pelancong luar dan dalam negara.
"Dengan bermotifkan kepala bangau, jambatan ikonik ‘cable stayed’ sepanjang 133 meter dengan empat lorong dua hala itu menelan kos sebanyak RM107 juta kini dalam proses sentuhan akhir sebelum dibuka pertengahan Mei nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Penyampaian Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu BERKAT (sektor pelancongan) kepada wakil pemandu bot dan pengusaha houseboat serta malim gunung di Tasik Kenyir, di sini hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Ariffin turut berkata Projek pembangunan Pusat Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pulau Poh yang sedang berjalan kini hampir seratus peratus siap.
"Antaranya melibatkan pembinaan Terminal Utama Jeti Penumpang, Jeti Kargo, Pembinaan Kawasan R&R, Tempat Letak Kenderaan, Pembinaan Sistem Perparitan.
"Ini termasuk Keperluan Pengurusan Pengawalan Alam Sekitar (EMP), Kemudahan Sistem Rawatan Kumbahan dan hotel 150 bilik bertaraf 3 bintang yang mana kesemuanya telah siap hampir 95 peratus," katanya lagi.
Beliau berkata, apabila kesemua projek di Pulau Poh siap kelak, ia menjadi satu lagi produk
pelancongan tambahan di Tasik buatan terbesar ini, secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada produk-produk sedia ada di sini.