Jangan Berlengah Isi Borang e-Kasih - Alias Harun


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 16 Mac - Orang ramai yang berkelayakan diminta segera dan tidak melengah-lengahkan mengisi maklumat di dalam borang e-Kasih yang disediakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, borang berkenaan boleh didapati di mana-mana Pejabat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS).

"Tindakan kena cepat jangan bertangguh, sebab kita nak bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke, MAIDAM atau sebagainya mesti diambil daripada data e-Kasih," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Ziarah 'Mobile Team', di sini baru-baru ini (12 Mac).

Kunjungan tersebut adalah untuk bertemu penama-penama yang telah tersenarai di dalam data e-Kasih yang tinggal di DUN Rantau Abang.

Antara yang diziarahi ialah seorang nelayan, Nor Azlan Ali, 49, dan isterinya, Nor Azura Mohd Tahir, 37, yang tinggal di Seberang Pintasan.

"Suami saya ke laut tumpang bot orang, sebab tidak ada bot sendiri," ujarnya yang hilang penglihatan akibat kencing manis yang dihidapi sejak 16 tahun yang lalu.

Menurut beliau, penyakit tersebut dihidapi ketika mengandungkan anak sulung dan terus berlarutan sehingga hari ini dan kehidupannya sekarang banyak dibantu suami dan anak-anaknya yang masih bersekolah.

"Sebelum pergi sekolah anak sulung yang tingkatan empat akan masak nasi, lepas tu adiknya yang darjah lima balik sekolah akan beli lauk," cerita ibu kepada tiga orang anak yang tidak dapat melihat sejak tiga tahun lepas.

Azura dan keluarga kini tinggal menumpang di rumah ibu saudara yang telah meninggal dunia.

Beliau merupakan penerima bantuan bulanan JKM dan berharap dapat memiliki rumah sendiri.

Ziarah yang melibatkan kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), JKM, Kementerian Pelajaran Malaysia, i-MiTS, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) itu adalah ziarah susulan yang sebelum ini telah dikenal pasti oleh Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri) yang mengendalikan e-Kasih.

Tag: