Jangan Jadi ‘Ikan Keli’-Zahid

Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri, hari ini. Foto Oleh: Tg Mohd Syamim Tg Ismail

Naib Presiden UMNO Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota dan pemimpin UMNO negeri ini agar tidak mengamalkan ‘politik ikan keli, sebaliknya santuni sifat ikan bandaran’.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata jika sikap ikan keli yang suka mengeruhkan keadaan dari dalam parti menjadi amalan dan tradisi dalam kalangan pemimpin UMNO, maka institusi yang telah lama dibina ini akan rebah.

“Kita tidak mahu ada sabotaj calon-calon yang dikehendaki oleh rakyat dan pengundi kerana kita (UMNO Kuala Terengganu) khususnya perlu tebus semula maruah dan hilangkan arang yang disapu ke muka oleh kita sendiri.

“Budaya ‘ikan keli’ yang mengeruhkan keadaan ini kita tidak mahu ada dalam jentera parti kita, ikutlah budaya ikan bandaraya walaupun kecil tetapi boleh membersihkan segala kotoran.

“Walaupun kita dibawah hanya orang-orang kecil, mungkin ikan-ikan kecil, molekul-molekul kecil, tetapi kita sebagai lidi penyapu mustahil dapat menyapu dengan sebatang lidi, tetapi jika sebatang lidi itu kita dapat satukan, kita sapu bersih tempat yang kotor itu untuk menang,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Dato’ Mohd Sabri Alwi serta kepimpinan UMNO negeri.

Beliau turut mengingatkan pemimpin UMNO di semua peringkat supaya tidak melobi untuk dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Apabila ada keputusan calon yang akan disampaikan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, kita tidak mahu ada anggota parti yang akan mengeruhkan keadaan dengan mensabotaj calon yang terpilih.

“Budaya ikan keli di kolam mana pun diletakkan, pasti kolam itu akan keruh airnya. Ketepikan budaya ini, berikan sokongan kepada calon yang akan ditentukan pesiden parti,” ujarnya.


Katanya, proses pemilihan calon sudah lama bermula dan kini terserah kepada pucuk kepemimpinan parti untuk menentukannya.

“Saya tidak mahu ada sabotaj terhadap calon-calon yang dipilih. Kita akan pilih calon ikut kriteria dimana calon yang dijangka boleh menang dan disukai rakyat.

“Tidak perlu melobi kerana kita lebih tahu siapakah calon yang diperlukan rakyat,” ujarnya.

Tag: