Jelajah Beautiful Terengganu Jadi Platform Promosi Pelancongan
JOHOR BAHRU, 3 Ogos -
Program Jelajah Beautifiul Terengganu 2024 "Pakat Maghi Teganu" antara negeri terus diperkukuhkan bagi pembangunan pelancongan yang seimbang, sekali gus menarik kehadiran pelancong di seluruh negara.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Sulaiman Sulong berkata program tersebut itu juga mengeratkan lagi hubungan antara pihak kerajaan negeri dan agensi-agensi dengan rakan industri yang berperanan besar dalam menentukan jatuh bangun industri pelancongan.
"Kali ini kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pelancongan negeri dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu telah memilih Johor Bahru sebagai lokasi program terbaharu.
"Ia merupakan lokasi strategik dan kepelbagaian pengunjung domestik dan antarabangsa termasuk dari Singapura dan Batam.
"Kami harapkan melalui penganjuran program seperti menjadi momentum peningkatan kehadiran pelancong ke Terengganu ,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program tersebut di Opero Hotel Southkey, di sini hari ini.
Tambahnya, selain dari mengukuhkan hubungan strategik dengan rakan industri di Johor dan Singapura, program tersebut bertujuan mempromosikan keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan Terengganu.
Sementara itu, Pengerusi MAH Terengganu, Suaibah Harun berkata Jelajah Beautifiul Terengganu yang kini memasuki tahun ketiga akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut zon.
"Kita mulakan di Kedah pada tahun 2021, diikuti Pahang pada 2022 dan kali ini di Johor Bahru.
"Dengan penganjuran program seperti ini diharapkan bilangan pelancong akan meningkat dan memberi impak kepada sektor perhotelan di Terengganu," ujar beliau.
Tambahnya, untuk separuh tahun pertama, bilangan pengunjung yang menginap di hotel-hotel Terengganu melebihi 300 ribu dan dijangkakan mencapai 800 ribu akhir Disember ini.