KEMAMAN, 28 Februari - Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membantu penduduk di kawasan masing-masing untuk mendaftar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
"Saya minta JPKK terutama di Terengganu yang menjadi nadi masyarakat supaya mengenal pasti dan membantu mereka yang ada kesukaran untuk daftar. Begitulah kepada anak-anak yang ada kemampuan dan ada ruang, daftarlah untuk ibu bapa yang tidak ada kemampuan dan kesempatan," katanya.
Beliau mengunjurkan seruan tersebut pada sidang media selepas menyempurnakan penyampaian Bantuan Banjir Terengganu di Dewan Majlis Perbandaran Kemaman, semalam.
Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang sasaran pendaftar untuk menerima vaksin COVID-19 kerana fasa satu pemberian vaksin mengutamakan pasukan barisan hadapan.
"Kita sedang melihat menilai maklum balas bagi fasa kedua dan ketiga yang sedang masuk. Dalam tempoh ini kita akan lihat kecenderungan pendaftaran, jika agak perlahan kita akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk langkah-langkah yang perlu dilaksanakan supaya dapat kadar penerima vaksin dimaksimumkan," jelasnya.
Dalam program bantuan tersebut, seramai 160 penerima daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) daerah Kemaman menerima bantuan tunai sebanyak RM500 daripada kerajaan negeri.
Bantuan bagi daerah lain yang terlibat akan disalurkan bermula esok.