BATU RAKIT,21 Mei – Program Jualan Murah Hasil Laut yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Setiu kelmarin menerima sambutan yang amat luar biasa daripada penduduk setempat.
Program tersebut telah berlangsung di hadapan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Setiu DUN Batu Rakit, Kampung Padang Polis itu bertujuan bagi membantu warga tempatan mendapatkan bekalan hasil laut segar pada harga yang lebih murah dan berpatutan.
Menurut perkongsian di laman sosial rasmi Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, sebanyak 900 kilogram hasil laut pelbagai jenis telah habis terjual sepanjang program berkenaan.
Antara hasil laut yang menjadi rebutan ramai termasuklah ikan aya kurik, ikan lolong, ikan cencaru, anak ikan kembung, kepah serta lokam yang mana masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 150 kilogram.
Pihak penganjur menzahirkan rasa syukur atas sambutan yang sangat baik itu kerana kesemua hasil laut yang disediakan telah habis terjual dalam tempoh yang singkat.
" Inisiatif ini dilihat sangat membantu dalam meringankan beban kos sara hidup warga Batu Rakit.
"Melihat kepada impak positif program tersebut, pihak PKM Parlimen Setiu merancang untuk meneruskan inisiatif murni ini ke kawasan lain pula." ujar beliau.
Siri Program Jualan Murah Hasil Laut seterusnya dijadualkan bakal berlangsung pada 24 Mei ini bertempat di Jabi bagi memberi peluang kepada penduduk di kawasan tersebut menikmati manfaat yang sama.
Tag :