Jalur Gemilang
Berita :
Juruteknik Maut Dalam kemalangan Motosikal di Dungun
Juruteknik Maut Dalam kemalangan Motosikal di Dungun
Muhammad Amiruddin Zamri
19 jam yang lepas
557

DUNGUN, 20 September – Seorang juruteknik maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 70, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Pusat Koreksional Bukit Besi, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa, Mohd Yusop Abu Bakar, 34, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai juruteknik kilang di sebuah syarikat perlombongan bijih besi sedang dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Kampung Wa selepas selesai menjalankan tugas syif malam.

Siasatan awal mendapati setibanya di lokasi, sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai terbabas ketika melalui satu selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.

Mangsa yang tidak sempat mengelak kemudian melanggar bahagian kiri belakang kereta berkenaan sebelum tercampak ke atas jalan.


Kereta terbabit kemudiannya terbabas ke dalam parit menyebabkan pemandunya mengalami kecederaan ringan.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan