Kadar Vaksinasi Harian Malaysia Terpantas Di Dunia

PUTRAJAYA, 28 Julai - Kadar vaksinasi harian di Malaysia merupakan yang terpantas di dunia dengan kapasiti suntikan mencecah 500,000 dos sehari mengatasi beberapa negara maju termasuk Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Menteri Penyeleras Program Imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sehingga kini kira-kira 18.4 juta rakyat telah menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Univerisiti Oxford.

Langkah itu katanya bakal mempercepatkan sasaran Malaysia mencapai imuniti kelompok pada Oktober sekali gus menghalang penularan wabak berkenaan yang meningkat dengan begitu drastik dan membimbangkan.

"Kadar harian vaksinasi semalam telah mencatatkan jumlah tertinggi apabila 553,871 dos berjaya diberikan di seluruh Malaysia menyaksikan pemberian vaksin harian mencapai angka melebihi 500,000 bagi dua hari berturut-turut.

"Menjadikan jumlah pemberian bagi dua hari ini, sebanyak 1,07 juta dengan penambahan penerima dos pertama dua peratus populasi Malaysia atau bersamaan 692,000 orang," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan penerangan mengenai PICK pada persidangan khas Dewan Rakyat, pada hari ini.

Katanya, kerajaan optimis dapat merealisasikannya sasaran imuniti kelompok apabila telah membuka 2,313 Pusat pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Mengulas lanjut mengenai gambaran kejayaan  vaksinasi itu katanya, sehingga kini fasa pertama seramai 695,000 petugas barisan hadapan telah menerima dos lengkap manakala 93 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas sudah menerima vaksin pada fasa kedua.


Tag: