MARANG, 28 Februari - Pemimpin kerajaan hari ini diingatkan agar tidak menyalahkan pihak pembangkang jika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tumbang sekali lagi sebaliknya berpunca daripada kerajaan sendiri.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata jika kerajaan sekarang jatuh sekali lagi, pemimpin mahupun penyokong PH tidak boleh mengatakan dek kerana 'tebuk atap' tetapi hakikatnya kerana berlaku 'atap bocor'.
"Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah", ucapnya ketika sesi Perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.
Tambah beliau lagi, kalau partinya yang kecil bergabung dalam keadaan yang rapuh, laksana rumah berdinding kaca jangan mudah-mudahan melontar batu terhadap pihak lain bagi menutup kelemahannya yang ketara.
"Ini kerana dindingnya menampakkan segala yang berlaku di dalamnya dan mudah pecah berkecai.
"Kalau tanya kaji cuaca,
Kilat petir datang membelah,
Kalau rumah berdinding kaca,
Jangan kacau orang sebelah.
"Kayu tengkawan dibuat rumah,
Rumah dipasang pagar berduri,
Kalau lawan di bawa ke mahkamah,
Kalau mengampu menjadi menteri.
Demikian petikan ucapan beliau yang disampaikan dalam versi pantun kiasan.