lightning-solid
Berita :
'Kalau Tak Terlalu Bergantung, Bayarlah Hak Terengganu': - Dr Azman
'Kalau Tak Terlalu Bergantung, Bayarlah Hak Terengganu': - Dr Azman
Hidayah Azlin
3 jam yang lepas
73

KUALA TERENGGANU, 9 Julai– Kerajaan Persekutuan digesa untuk segera melunaskan bayaran royalti minyak yang menjadi hak rakyat Terengganu, susulan kenyataan bahawa hasil negara kini tidak lagi terlalu bergantung kepada dividen Petroleum Nasional Bhd (Petronas).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan, isu kelewatan saluran dana tersebut bukanlah berpunca daripada kelemahan pihak Petronas.

Sebaliknya kata beliau, syarikat petroleum nasional itu telah pun menunaikan tanggungjawab mereka dengan membayar kadar royalti lima peratus seperti yang termaktub dalam undang-undang.

"Dalam isu royalti minyak, ia bukan salah Petronas. Petronas dah bayar lima peratus royalti minyak hak Terengganu yang diambil oleh Kementerian Kewangan (MOF).

"Menteri Kewangan yang cipta pelbagai alasan bila nak bayar balik duit tersebut kepada Terengganu," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau pada Khamis.

Kenyataan itu dibuat bagi mengulas laporan media mengenai ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan hasil cukai kini mewakili lebih 70 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil Kerajaan Persekutuan, manakala dividen Petronas hanya menyumbang sekitar lima hingga enam peratus bagi unjuran tahun 2026.

Mengulas lanjut, Dr. Azman menjelaskan bahawa mengikut perjanjian asal di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974, mekanisme pembayaran royalti sepatutnya dilakukan secara terus ke dalam akaun Kerajaan Negeri tanpa melalui pihak ketiga.

"Perjanjian asal dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974, Petronas bayar duit royalti tersebut terus ke dalam akaun Kerajaan Negeri sebanyak dua kali setahun iaitu pada bulan Mac dan September.

"Apa yang berlaku sekarang ialah Kerajaan Pusat ambil duit tersebut. Bukannya Petronas tak bayar royalti. Ini yang perlu kita faham," tegas beliau lagi.

Sebelum ini, isu tunggakan dan kaedah penyaluran wang ihsan atau royalti petroleum kepada Terengganu sering menjadi tumpuan penegasan kepimpinan negeri yang menuntut hak berkenaan dikembalikan demi kelangsungan pembangunan dan kebajikan rakyat tempatan.


Tag :

Artikel Berkaitan