lightning-solid
Berita :
Wanita Setiu Rugi RM37,350 Terpedaya Tawaran Kerja Atas Talian Tidak Wujud
Wanita Setiu Rugi RM37,350 Terpedaya Tawaran Kerja Atas Talian Tidak Wujud
Ariss Alias
14 jam yang lepas
428

SETIU, 8 Julai - Seorang wanita berusia 34 tahun yang menjalankan perniagaan di Daerah Setiu kerugian sebanyak RM37,350 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja atas talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Setiu, Supt. Zahril Asri Mohd Zain, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu menerima laporan daripada mangsa pada 3 Julai 2026 berhubung kejadian tersebut.

 Menurut beliau, kejadian bermula pada 26 Jun 2026 kira-kira jam 12 tengah hari apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memaklumkan bahawa mangsa akan menerima barangan percuma kerana aktif membuat pembelian secara dalam talian.

"Mangsa kemudian diminta membuat ulasan (review) terhadap barangan berkenaan sebelum dipelawa menyertai kumpulan WhatsApp 'Feedback & Rating Up'. Dalam kumpulan itu, mangsa diberikan tugasan dengan janji memperoleh komisen bagi setiap tugasan yang berjaya diselesaikan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diarahkan membuat beberapa pembayaran ke beberapa akaun bank kononnya bagi mendapatkan pulangan dan komisen yang lebih tinggi.

 Mangsa melakukan beberapa transaksi sehingga mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM37,350 sebelum menyedari dirinya telah diperdaya apabila komisen yang dijanjikan tidak diterima. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof, menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, masyarakat perlu membuat semakan terlebih dahulu terhadap mana-mana tawaran pekerjaan atau pelaburan yang diterima, selain mengelakkan daripada membuat sebarang pembayaran kepada individu atau syarikat yang tidak dikenali.

"Orang ramai jangan mudah percaya dengan janji keuntungan tinggi. Jika menerima tawaran yang mencurigakan, buat semakan dengan pihak berkuasa atau agensi berkaitan terlebih dahulu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan," katanya.


Dalam pada itu, polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terhadap sindiket penipuan yang menggunakan pelbagai taktik bagi memperdayakan mangsa dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.



Tag :

Artikel Berkaitan