lightning-solid
Berita :
Amzad Gesa Penyata Jawatankuasa Isu Rohingya Dibentangkan Di Dewan Rakyat
Amzad Gesa Penyata Jawatankuasa Isu Rohingya Dibentangkan Di Dewan Rakyat
Noraini Jusoh
13 jam yang lepas
137

KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim menggesa Penyata Jawatankuasa berhubung isu pelarian Rohingya dibentangkan di Dewan Rakyat.

Katanya, langkah tersebut membolehkan semua Ahli Parlimen meneliti dapatan, mendapatkan maklumat yang sama serta mengambil bahagian dalam perbahasan berkaitan isu berkenaan. 

Gesaan itu dibuat selepas usul yang dikemukakan beliau di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) untuk membahaskan isu pelarian Rohingya tidak diterima oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Menurut beliau, alasan penolakan yang diberikan ialah kerana perkara itu telah dibentangkan dalam sesi taklimat kepada beberapa Jawatankuasa Pilihan Parlimen, termasuk Jawatankuasa Pilihan Perhubungan Antarabangsa, Parlimen dan Perdagangan Antarabangsa.

Tegas Amzad, isu pelarian Rohingya melibatkan pelbagai aspek penting termasuk dasar kerajaan, pengurusan pelarian, kawalan kemasukan, penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan negara yang memerlukan penelitian di peringkat Dewan Rakyat.

“Penjelasan serta penelitian di peringkat Dewan Rakyat penting bagi memastikan Ahli Parlimen dapat melaksanakan fungsi semak dan imbang serta memberikan pandangan bagi memperkukuhkan dasar sedia ada,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru katanya, beliau akan membangkitkan isu itu ketika mengambil bahagian sebagai pembahas kedua dalam Perbahasan Usul Laporan Tahunan SUHAKAM 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

“Saya juga akan mengambil tindakan susulan dengan membawa usul bagi mendapatkan Penyata Jawatankuasa tersebut untuk dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Semoga usul ini dapat diberikan pertimbangan sewajarnya untuk dibahaskan.” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan