lightning-solid
Berita :
 58 Penyelam Bersatu Padu Bersihkan Terumbu Karang Pulau Redang
58 Penyelam Bersatu Padu Bersihkan Terumbu Karang Pulau Redang
Hidayah Azlin
8 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Usaha memelihara ekosistem laut Terengganu terus diperkasakan menerusi penganjuran Program *Reef Care* yang berlangsung di Taman Laut Pulau Redang, baru-baru ini.

Program pembersihan dasar laut tersebut telah berjaya menghimpunkan seramai 58 orang penyelam yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan serta kelab penyelaman dari dalam dan luar negeri.

Antara agensi dan kelab yang terlibat menjayakan misi ini termasuklah Pasukan Gerakan Marin (PGM), Maritim Terengganu, Jabatan Perikanan Kelantan, Jabatan Pertanian Perak, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Turut memberi sokongan padu ialah Persatuan Penyelam Malaysia, Persatuan Penyelam Terengganu, dan Black Eye Scuba dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, hasil semangat kerjasama itu, sebanyak lebih 200 kilogram (kg) sampah dan pukat hanyut berjaya dikeluarkan dari dasar laut.

"Selain pembersihan sampah dan pukat terbuang, para penyelam juga berjaya mengeluarkan sebanyak 112 ekor tapak sulaiman pemakan karang atau *Crown-of-Thorns Starfish* (COTS) daripada kawasan terumbu karang.

"Spesis tapak sulaiman ini merupakan pemakan karang dan kewujudannya secara berlebihan menjadi antara punca utama kemusnahan terumbu karang di perairan kita. Oleh sebab itu, ia perlu dibersihkan dan dilupuskan secara terkawal bagi menyelamatkan ekosistem marin," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa, agensi, dan para sukarelawan yang terlibat atas komitmen tinggi mereka dalam memelihara khazanah alam laut Terengganu demi generasi akan datang.


Tag :

Artikel Berkaitan