lightning-solid
Berita :
Kerajaan Salur RM5,000 Pulihkan Padang Bola Kampung Pasir Raja
Kerajaan Salur RM5,000 Pulihkan Padang Bola Kampung Pasir Raja
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
67

DUNGUN, 26 Julai - Kerajaan Terengganu menyalurkan peruntukan RM5,000 bagi membersihkan Padang Bola Sepak Kampung Pasir Raja, Dungun, yang kini dipenuhi rumput tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau meninjau sendiri keadaan padang berkenaan ketika berkunjung ke kampung tersebut, semalam.

“Saya melihat padang bola dan rumputnya sudah sama tinggi dengan orang.

“Saya tidak pasti sama ada penduduk di sini masih bermain bola atau tidak. Namun, jika aktiviti itu masih diteruskan tetapi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tidak mempunyai peruntukan untuk membersihkannya, insya-Allah saya berikan RM5,000,” katanya.

Menurut Hishamuddin, peruntukan itu akan disalurkan melalui Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi bagi membolehkan kerja pembersihan dilaksanakan.

“Kalau hendak bermain, padang perlu dibersihkan terlebih dahulu. Selepas itu, sudah tentu golongan belia di kampung ini boleh kembali bermain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Program T-VOLT Turun Ke Kampung 2.0 di Campsite Bumbung Raja, Pasir Raja, Dungun, semalam.

Hishamuddin berharap kemudahan sukan di kampung berkenaan dapat diperkasakan menerusi kerjasama antara JPKK dan Pejabat DUN Bukit Besi yang diketuai ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut menyeru penduduk, khususnya golongan belia, supaya mengimarahkan masjid dan surau serta menghadiri majlis ilmu.

Menurutnya, pembangunan sukan perlu bergerak seiring dengan pembentukan masyarakat yang beriman dan bertakwa.

“Kerajaan berharap setiap rakyat di negeri ini menjadi orang yang beriman dan bertakwa. Apabila kedua-duanya ada dalam diri anggota masyarakat, Allah menjanjikan keberkatan dari langit dan bumi.

“Masjid dan surau perlu diimarahkan, manakala majlis ilmu mesti terus dihidupkan,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu diharapkan dapat berkembang bukan sahaja di Kampung Pasir Raja, malah di seluruh Terengganu dari Kemaman hingga Besut.


Tag :

Artikel Berkaitan