KEMAMAN, 1 November – Pasukan Kampung Geliga berjaya merangkul gelaran juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Dato’ YBC Peringkat DUN Cukai 2026 selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan yang berlangsung di Stadium Mak Chili.
Pengurus pasukan, Ishamudin Ibrahim, 46, melahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut dan menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai hasil komitmen serta kerjasama seluruh pemain pasukan.
“Kejohanan pada kali ini berlangsung dengan baik dari segi penganjuran, mutu pengadilan serta penyertaan pasukan-pasukan yang berkualiti dan kompetitif.
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Pejabat ADUN Cukai dan DACS DUN Cukai atas usaha menganjurkan kejohanan berkenaan secara profesional,” ujarnya.


Katanya, kemenangan itu adalah hadiah buat seluruh warga Kampung Geliga dan pasukan akan berusaha untuk mempertahankan kejuaraan pada edisi akan datang.
Kejayaan ini diharapkan menjadi pembakar semangat kepada pasukan-pasukan lain untuk terus aktif dalam sukan bola sepak, sekali gus menyuburkan budaya sukan dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.