PUTRAJAYA, 20 Februari - Ibu bapa disaran memastikan anak-anak yang bakal menerima suntikan vaksin memiliki rehat yang secukupnya bagi melancarkan proses vaksinasi.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata selain itu kanak-kanak berkenaan juga perlu dipastikan berada dalam keadaan sihat dan aktif.
"Serta makan dan minum yang mencukupi sebelum disuntik dan selepas menerima pelalian, perlu dipastikan kanak-kanak berkenaan tidak melakukan aktiviti berat dalam tempoh seminggu.
"Ini penting bagi memastikan badan mereka dapat melalui proses pembinaan imuniti dengan baik serta mengelakkan sebarang komplikasi akibat melakukan aktiviti berat," katanya.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan medianya, di sini, pada hari ini.
Selain itu katanya, dalam membendung penularan wabak jangkitan Covid-19 yang dilaporkan ketara dalam kalangan kanak-kanak, beberapa langkah pencegahan juga perlu dilakukan.
"Kanak-kanak dinasihatkan agar sentiasa kekal dan berada di rumah kecuali untuk tujuan penting dan perlu sahaja. Amalkan norma baharu serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam mencegah jangkitan tersebut.
"Ahli keluarga diingatkan agar tidak menjadi punca pembawa jangkitan kepada kanak-kanak dengan sentiasa mengamalkan pematuhan SOP ketika berada di luar rumah dan jika terdapat ahli keluarga yang menjalani kuarantin di rumah pastikan mereka patuh sepenuhnya kepada prosedur kuarantin," ujarnya.