• 19 Okt 2024 | 16 Rabiul Akhir 1446

Karnival Pantai 2024 'Muzium Hidup' Telusuri Tradisi Terengganu

KUALA NERUS, 18 Oktober - Karnival Pantai 2024 menghimpunkan keunikan budaya, seni dan warisan daerah-daerah yang ditonjolkan kepada pengunjung untuk merasai sendiri gaya hidup masyarakat Melayu tradisional.

Berkonsepkan 'muzium hidup', pelbagai persembahan budaya, permainan rakyat serta aktiviti seni dan warisan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, karnival itu adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk memastikan Terengganu berkembang sebagai destinasi pelancongan negara.

"Pameran seperti bangsal tradisi dan karnival makanan yang dianjurkan kali menunjukkan usaha kerajaan negeri dalam memastikan tradisi Terengganu terus kekal.

"Setiap daerah menghias bangsal mereka dengan bahan-bahan semula jadi seperti pelepah kelapa, daun nipah dan buluh untuk menyampaikan kepada generasi muda serta masyarakat luar tentang kebudayaan, warisan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Pantai 2024 di Pantai Teluk Ketapang, di sini semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid Jusoh dan Datuk Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif.

Tambahnya, bangsal tradisi terbabit akan dinilai dengan pemarkahan merangkumi hiasan dan aktiviti bangsal.

Bangsal terbaik akan memenangi hadiah utama bernilai RM50,000.

Dalam karnival itu juga, produk-produk industri kecil sederhana (IKS) berasaskan pelancongan dan seni budaya turut dijual dan dipamerkan kan.

Karnival Pantai berlangsung selama empat hari sehingga 20 Oktober nanti.

Ini adalah kali ketiga ia dianjurkan setelah kali terakhir diadakan pada 2019.

 


Tag: