Kebakaran KBC Hampir Pulih



Kebakaran tangki simpanan minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company ( KBC ), di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman kini semakin pulih apabila dua daripada tiga tangki yang terbakar berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Sharikan Bustaman berkata, kedua-dua tangki tersebut berjaya dipadamkan pada jam 6.40 dan 10 pagi tadi.

Menurut Sharikan, anggota keselamatan melakukan teknik pemadaman secara terus dengan menggunakan buih dan operasi penumpuan tersebut dijalankan pada jam 3 pagi tadi.

"Kita menumpukan pada kedua - dua tangki tersebut kerana keadaan api yang membakar baki minyak mentah pada ketika itu sudah berkurangan," katanya.


Sharikan berkata,  sehingga jam 2 petang masih ada sebuah tangki yang mempunyai kapasiti 13,666 meter padu minyak mentah masih terbakar pada tahap 30 peratus sahaja.

"Berdasarkan kepada kemajuan tersebut kita yakin baki kebakaran yang masih tinggal dapat dipadamkan semuanya menjelang tengah malam ini," katanya.

"Keadaan angin yang kuat dan asap yang tebal menyukarkan sedikit kerja pemadaman dan pihaknya terpaksa menukar syif anggota pada setiap dua jam bagi memastikan anggotanya tidak terjejas.

"Keadaan berangin menyebabkan kami sukar menempatkan hala tuju pancutan air dan bila kami nak tuju pada satu posisi kami terpaksa mengambil langkah ke arah 30 darjah dari target kami sebenarnya akibat keadaan angin,”katanya.

Tambahnya, operasi pada hari ketiga melibatkan seramai 196 anggota JBPM Negeri Terengganu termasuk anggota bantuan daripada JBPM Perak dan Pahang .

Menurutnya, pihaknya turut menerima bantuan dari sembilan agensi lain dengan kekuatan anggota berjumlah 46 orang.

Keadaan kebakaran petang semalam. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail


Tag: