KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Hubungan erat antara Bapa Angkat, Jabatan Angkat, dan seluruh barisan pemain serta pegawai pasukan bola sepak Terengganu disifatkan sebagai pemangkin semangat utama dalam misi membawa pulang pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Selangor 2026.
Ahli Parlimen Setiu merangkap Bapa Angkat pasukan bola sepak Terengganu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, komitmen padu daripada semua pihak yang terlibat adalah kunci untuk memastikan para pemain mampu berjuang habis-habisan demi mengharumkan nama negeri.
"Semoga hubungan erat antara Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan seluruh pasukan menjadi pemangkin semangat kepada para pemain untuk berjuang dengan penuh komitmen demi mengharumkan nama Terengganu.
"Insya-Allah, dengan usaha, disiplin dan doa daripada seluruh rakyat Terengganu, sasaran kita adalah membawa pulang pingat emas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Ramah Mesra Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Pasukan Bola Sepak Terengganu yang berlangsung di Permai Inn Hotel, baru-baru ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Kontinjen (CDM) Terengganu, YBhg. Dato’ Haji Rosli bin Latif.
Turut hadir memberikan sokongan moral dalam program persiapan tersebut ialah barisan pemain, barisan jurulatih, pegawai pasukan, serta wakil daripada Jabatan Angkat iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).