• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Kebersihan Sebagai Amalan - MB Terengganu


KUALA NERUS, 20 April - Kerajaan negeri komited bagi memastikan kebersihan persisiran pantai dan kawasan sekitar di Terengganu berada di tahap yang memuaskan dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kolaborasi antara pelbagai jabatan,agensi dan masyarakat mampu mewujudkan persekitaran yang bersih dan ceria

"Dan juga perkara yang paling penting ialah bagaimana menimbulkan kesedaran untuk melakukan proses seterusnya bagi memastikan ia berkembang setiap masa dan bukan masa kempen sahaja.

"Amalan menjaga kebersihan merupakan amalan penting dan kemajuan negara serta masyarakat juga berkait rapat dengan kebersihan dan ia wajar dibudayakan sebagai cara hidup,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Go Clean Peringkat Negeri Terengganu di Pantai Teluk Ketapang, di sini hari ini.


Sultan Terengganu, Duli Yang Maha Mulia Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah turut mencemar duli berangkat merasmikan program berkenaan.

Keberangkatan baginda diiringi  Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.


Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK),  Datuk A. Rahman Yahya; Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Mohd Azahar; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak dan Ketua Pengakap Negara, Dato" Seri Paduka Dr. Shafie Mohd Salleh.

Tambah beliau lagi, satu perbincangan diperingkat daerah-daerah akan dilaksanakan bagi memastikan kesemuanya mengekalkan tahap kebersihan di tahap yang terbaik.

"Bagaimana nak kekalkan di daerah, kita akan berbincang dengan mereka tetapi yang penting nak hadapi lepas raya  yang mana selepas beratus ribu pulang ke tempat kerja mereka maka ada suasana yang perlu kerajaan negeri ambil perhatian.

"Oleh itu kita minta semua pihak termasuk pengunjung dan anak-anak tempatan jalankan tugas masing-masing dan Insha Allah, kita boleh kekalkan kebersihan bersama,"ujarnya.




Tag: