• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Kehilangan Penyu Belimbing Pengajaran Besar Buat Manusia

KEMAMAN, 14 Ogos - "Bercakap tentang penyu Belimbing, apa terjadi di Rantau Abang? Kita dahulu begitu rakus, begitu suka hendak tengok penyu tanpa menjaga persekitaran apa yang sensitif kepada penyu.

"Melihat penyu ini macam pesta saya ingat sewaktu kecil-kecil dahulu dan akhirnya, sebagaimana yang Yang Berhormat sebutkan, penyu itu 'merajuk' kerana kita kacau tempat mereka.

"Itulah pengajaran terbesar yang kita dapat atas apa yang dilakukan dahulu dan kita belajar daripadanya," kata Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dalam ucapannya di Majlis Sambutan Jubli Perak Pusat Santuari Penyu Ma'Daerah, Isnin lalu.

Jelasnya, sehubungan itu Tabung Amanah Pemuliharaan Penyu Terengganu kini menjadi medium untuk mengukuhkan usaha pemuliharaan simbol ikonik negeri Terengganu itu.

Beliau sebagai Pengerusi tabung amanah memaklumkan, sejak dilancarkan pada Jun 2023, tabung berkenaan telah mengumpulkan hampir RM80,000 hasil daripada sumbangan pelbagai pihak.

"Kita merupakan satu-satunya negeri yang mewujudkan tabung amanah pemuliharaan penyu, tidak lain untuk mengumpul dana bagi melancarkan pengurusan dan konservasi di negeri Terengganu.

"Terima kasih saya ucapkan, penghargaan setinggi-tingginya kepada semua penyumbang yang membantu usaha kita di negeri kita ini.

"Usaha ini telah memperlihatkan impak positif apabila data menunjukkan sarang penyu tertinggi telah direkodkan pada tahun 2023 iaitu sebanyak 10,130 sarang," katanya.

Dalam majlis berkenaan, tabung amanah itu turut menerima sumbangan sebanyak RM77,000 daripada pihak swasta, persatuan dan organisasi melalui kempen pengalakan 'Terengganu Turtle Tourism'.

Acara puncak yang diadakan ialah pelepasan penyu yang dilengkapi Satellite Telemetry bersama 250 anak penyu ke perairan Terengganu.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim dan pegawai daerah Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur Mohammad Ahmad Shazly Ramli.

 


Tag: